LONDON: Aston Villa masih gagal mencari kemenangan musim ini selepas sekadar seri 1-1 menentang Sunderland biarpun mendahului satu gol dan berkelebihan seorang pemain, malam tadi.
Skuad bimbingan Unai Emery kini menghuni kelompok tiga terbawah dengan hanya tiga mata daripada lima perlawanan awal liga.
Villa dilihat memiliki peluang terbaik apabila pertahanan Sunderland, Reinildo Mandava dilayangkan kad merah pada minit ke-33 kerana menendang Matty Cash.
Gol pertama Villa musim ini hadir menerusi rembatan jarak jauh Cash yang gagal dibaca penjaga gol lawan, Robin Roefs.
Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Wilson Isidor menyamakan kedudukan lapan minit kemudian dengan gol ketiga peribadinya musim ini.
Ollie Watkins pula masih buntu mencari sentuhan jaringan selepas mensia-siakan dua peluang terbaik untuk Villa menutup perlawanan.
“Sejujurnya, kita patut memenangi perlawanan itu tetapi kita gagal menggunakan peluang di depan gol,” kata Emery.
Sunderland pula melonjak ke tangga ketujuh selepas hanya tewas sekali daripada lima aksi pertama mereka di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sementara itu, Newcastle turut bergelut di depan gawang apabila seri tanpa jaringan menentang Bournemouth, keputusan seri ketiga berturut-turut mereka di tempat lawan. – AGENSI










