BEIJING: China pada Isnin mengumumkan akan menggantung selama setahun ‘caj khas pelabuhan’ yang dikenakan ke atas kapal-kapal Amerika Syarikat (AS), sejajar dengan langkah Washington menangguhkan levi terhadap kapal buatan atau dikendalikan China, satu lagi tanda gencatan dalam perang perdagangan antara dua kuasa besar dunia itu.
AS dan China terlibat dalam perang tarif dan perdagangan yang tegang selama berbulan-bulan, namun kedua-duanya bersetuju untuk menarik balik sebahagian langkah hukuman selepas pertemuan antara Presiden, Xi Jinping dan Donald Trump bulan lalu di Korea Selatan.
Sebelum ini, kadar tarif di kedua-dua pihak mencapai tahap tiga angka yang tinggi, menjejaskan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia dan mengganggu rantaian bekalan global.
Kementerian Pengangkutan China dalam satu kenyataan berkata, penggantungan caj khas itu yang terpakai kepada kapal yang dikendalikan atau dibina oleh AS ketika berlabuh di pelabuhan China bermula pada Isnin pukul 13:01 (waktu tempatan).
Industri pembinaan kapal AS yang pernah mendominasi pasaran dunia selepas Perang Dunia Kedua, kini hanya menyumbang 0.1 peratus daripada pengeluaran global.
Sebaliknya, industri itu kini dikuasai oleh negara-negara Asia, dengan China membina hampir separuh daripada semua kapal baharu di dunia, diikuti Korea Selatan dan Jepun.
Secara berasingan, Beijing turut mengumumkan penggantungan sekatan terhadap anak syarikat AS milik Hanwha Ocean, antara syarikat pembinaan kapal terbesar Korea Selatan.
Menurut Kementerian Perdagangan China, penggantungan selama setahun itu berkuat kuasa 10 November berkaitan secara langsung dengan tindakan AS menghentikan caj pelabuhan terhadap kapal yang dibina atau dikendalikan oleh China.
“Sehubungan dengan langkah AS ini, China memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan langkah berkaitan selama satu tahun,” kata kenyataan kementerian tersebut.
China sebelum ini mengenakan sekatan ke atas lima anak syarikat AS milik Hanwha pada Oktober lalu, dengan menuduh mereka menyokong siasatan Seksyen 301 oleh kerajaan AS yang mendakwa dominasi China dalam industri pembinaan kapal sebagai ‘tidak munasabah’.
Akibat sekatan itu, organisasi dan individu di China dilarang bekerjasama dengan Hanwha Shipping LLC, Hanwha Philly Shipyard Inc., Hanwha Ocean USA International LLC, Hanwha Shipping Holdings LLC, dan HS USA Holdings Corp.
Siasatan yang dirancang untuk menentukan sama ada siasatan Seksyen 301 menjejaskan keselamatan dan kepentingan pembangunan industri pembinaan kapal China turut ditangguhkan selama setahun, menurut kementerian itu.
Langkah ini menandakan perkembangan positif terbaharu dalam hubungan ekonomi antara kedua-dua negara sejak pertemuan Jinping-Trump.
Rabu lalu, China turut mengumumkan lanjutan penggantungan tarif tambahan ke atas barangan AS selama setahun, mengekalkannya pada kadar 10 peratus, serta menggantung sebahagian tarif ke atas kacang soya dan hasil pertanian lain dari AS.
Selain itu, China juga menggantung larangan eksport logam penting seperti galium, germanium dan antimoni, bahan utama dalam teknologi moden dan bersetuju menghentikan selama setahun sekatan terhadap eksport teknologi logam nadir bumi.
Sebagai balasan, Washington turut bersetuju untuk menangguhkan sekatan eksport selama setahun terhadap syarikat-syarikat bersekutu yang mempunyai pegangan sekurang-kurangnya 50 peratus dalam entiti asing yang disenarai hitam, menurut Kementerian Perdagangan China.-AFP










