Tempoh percubaan enam bulan pesara tentera sebagai warden di MRSM

Tempoh percubaan enam bulan pesara tentera sebagai warden di MRSM

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memberikan tempoh percubaan selama enam bulan bagi menempatkan pesara tentera sebagai warden Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebelum diperluaskan ke semua institusi di bawah agensi itu.

Setakat ini, pelaksanaan projek rintis itu dijalankan di dua buah MRSM iaitu MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang dan MRSM Besut, Terengganu

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelaksanaan projek berkenaan bukan sekadar untuk membanteras isu buli, sebaliknya turut menilai maklum balas guru yang sering terbeban dengan tugas tambahan sebagai warden di asrama.

Katanya, ini kerana kebanyakan kes buli sering berlaku di luar waktu akademik dan ia menyukarkan guru untuk melakukan pemantauan secara berterusan.

“Kami sudah masuk bulan ketiga pelaksanaan projek rintis ini. Jika dapatan kajian pihak ketiga seperti UPM menunjukkan hasil yang positif, saya akan menyediakan kertas cadangan untuk dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri.

“Cadangan itu juga akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk menilai sama ada ia boleh dilaksanakan di semua MRSM dan mungkin juga diperluas ke institusi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akbar sempena Sesi Town Hall Tribunal Antibuli #GenerasiTanpaBuli Peringkat Mara di Menara Mara di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, pihaknya turut menubuhkan jawatankuasa khas bagi menilai, meneliti dan melaksanakan cadangan yang berkaitan dengan institusi pendidikan di bawah agensi itu.

Katanya, daripada 31 cadangan yang dikemukakan dalam Tribunal Antibuli, sebanyak 27 daripadanya melibatkan institusi pendidikan Mara.

“Fokus kami bukan hanya kepada hukuman, tetapi membina ekosistem pendidikan yang selamat, berteraskan kasih sayang dan empati.

“Kami juga akan mewujudkan platform aduan melalui portal khas supaya pelajar boleh melaporkan terus sebarang insiden atau elemen buli yang berlaku di institusi masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN