Selangor FC tewas 2-4 kepada Bangkok United

Selangor FC tewas 2-4 kepada Bangkok United

PERTAHANAN Selangor, Quenting Cheng menghadang sepakan pemain Bangkok City, Everton Saturnino pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2), di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini hari ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) membuka kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2025/2026 dengan langkah kiri apabila tewas 2-4 kepada Bangkok United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Beraksi di laman sendiri, Selangor terlebih dahulu dibolosi seawal minit ke-11 menerusi Ilias Alhaft sebelum menggandakan kedudukan empat minit kemudian hasil sentuhan Muhseh Saleh.

Tersentak dengan ketinggalan dua gol, tuan rumah bangkit merapatkan jurang kedudukan
pada minit ke-23 menerusi Chrigor Moraes yang menyempurnakan hantaran lintang Quentin Cheng.

Enggan membenarkan tuan rumah bangkit, Bangkok United kembali menjarakkan kedudukan apabila Ilias sekali lagi menemui sentuhan penyudah untuk gol ketiga pelawat seminit kemudian.

Selangor yang cuba bangkit, bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Harith Haiqal dilayangkan kad merah pada minit ke-39 kerana mengasari pemain Bangkok United, Seia Kunori.

Bersambung babak kedua, skuad Gergasi Merah meningkatkan intensiti permainan mereka untuk menekan pertahanan lawan bagi mencari gol.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya berhasil pada minit ke-73 hasil ledakan pemain gantian, Aliff Izwan untuk meletakkan kedudukan 3-2.

Harapan Selangor untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata bagaimanapun tidak tercapai apabila kelab Thailand itu, menjaringkan gol keempat menerusi tandukan Philippe Maia pada minit ke-84 sekali gus membawa pulang tiga mata.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN