KIGALI: Tadej Pogacar menegaskan kekalahan dalam ujian masa Kejohanan Berbasikal Lebuh Raya Dunia di Rwanda tidak akan melemahkan semangatnya menjelang acara lebuh raya hujung minggu ini.
Pelumba Slovenia itu dipintas Remco Evenepoel yang meraih gelaran dunia ketiga berturut-turut selepas menghabiskan laluan 40.6 kilometer (km) dengan penuh bergaya.
Juara bertahan itu menamatkan saingan di kedudukan keempat dan mengakui dirinya gagal menemui rentak sepanjang perlumbaan.
“Apabila dia (Evenepoel) potong saya, saya hanya mampu kata wow, dia memang luar biasa dalam acara ini.
“Saya mahu kayuh lebih baik dan cuba buru mahkota berganda, tapi saya hilang sedikit ritma kerana terjejas latihan akibat sakit bulan lalu,” kata Pogacar.
Pogacar kini menumpukan perhatian kepada acara lebuh raya sejauh 267.5km yang menampilkan pendakian lebih 5,500 meter (m) Ahad ini.
“Ini akan jadi antara perlumbaan paling memeritkan dalam karier saya, enam jam setengah penuh derita dengan ketinggian luar biasa.
“Saya sudah berlatih untuk situasi seperti ini dan tetap bersemangat mempertahankan jersi pelangi,” katanya. – AGENSI










