SHAH ALAM: Pemain lelaki No. 4 dunia, Christian Alshon menegaskan sukan pickleball mampu berkembang pesat tanpa menjejaskan sukan raket lain biarpun kini menjadi sukan paling pantas berkembang di dunia.
Fenomena itu semakin jelas di Malaysia apabila lebih 10,000 pemain aktif direkodkan, sekali gus mendorong pertumbuhan pantas kemudahan termasuk penggantian gelanggang futsal dan badminton kepada gelanggang pickleball.
Alshon yang pernah bergelar juara tenis NCAA Division III sebelum beralih kepada pickleball pada 2021 percaya semua sukan raket boleh bergerak seiring.
“Sebagai peminat tenis, saya rasa kedua-duanya boleh saling membantu, bukan bersaing sesama sendiri,” kata Alshon kepada pemberita pada sidang akhbar Jelajah PPA Asia Panas Malaysia Cup di Setia Alam pada Rabu.
Lebih istimewa, ini adalah penampilan pertama pemain kelahiran Amerika Syarikat (AS) itu di Asia dan Malaysia menjadi destinasi sulung yang dianggapnya penuh penghormatan.
Beliau mahu melihat tenis, padel, badminton, ping pong dan pickleball bersatu sebagai kuasa besar raket dunia yang mampu menarik lebih ramai generasi baharu.
Dalam pada itu, bintang kacukan AS-Vietnam, Alix Truong yang kini menghuni ranking ke-17 dunia beregu campuran mengakui perkembangan pickleball di rantau Asia cukup luar biasa.
Katanya, fasiliti di Asia tumbuh lebih pantas berbanding AS dengan masyarakat Asia turut tertarik kepada format beregu empat pemain yang lebih inklusif.
“Semua orang mahu pickleball ke Olimpik, dan saya percaya kita berada di landasan tepat,” kata Truong.
Ledakan itu bakal diterjemahkan di gelanggang apabila Jelajah PPA Asia, Panas Malaysia Cup 2025 membuka tirai di 9Pickle Setia Alam bermula hari ini hingga 28 September dengan tawaran hadiah lebih AS$150,000 (RM631,500) yang terbesar pernah dianjurkan di Asia. – UTUSAN