LONDON: Pelumba McLaren, Oscar Piastri menegaskan kedudukannya masih belum selamat dalam perebutan kejuaraan dunia meskipun rakan sepasukannya, Lando Norris ketinggalan 34 mata.
Piastri menjuarai Grand Prix (GP) Belanda pada minggu lalu, namun situasi berbeza dialami Norris yang tidak menamatkan perlumbaan selepas jenteranya berdepan masalah kebocoran minyak.
Piastri menjadi pilihan utama menjuarai kejuaraan dunia tahun ini, namun dia enggan berasa selesa atau leka dalam usahanya untuk terus menjarakkan diri daripada pesaing utamanya itu.
“Sudah tentu tidak menyenangkan melihat perkara seperti itu (masalah jentera Norris) tetapi malangnya ia adalah sebahagian daripada perlumbaan.
“Kami tidak bercakap mengenainya. Tiada apa yang boleh saya katakan untuk menjadikannya lebih baik. Bagi saya, pendekatan saya tidak berubah. Pendekatan yang saya gunakan tahun ini telah berjaya dan bagi saya, tiada sebab untuk mengubahnya sekarang.
“Jurang mata kini lebih besar tetapi masih jauh daripada selesa atau cukup untuk saya ubah cara saya berlumba. Jadi semuanya akan kekal sama,” kata Piastri menjelang GP Itali di Monza hujung minggu ini.
Pelumba dari Australia itu sudah melakar tujuh kemenangan tahun ini berbanding lima oleh Norris.
“Saya masih mahu terus menjarakkan diri kerana masih banyak baki perlumbaan dan jurang yang lebih besar sentiasa memberi kelebihan yang lebih besar,” katanya. – AGENSI