Perjalanan Bing Kun-Pei Kee tamat awal

Perjalanan Bing Kun-Pei Kee tamat awal

Loo Bing Kun (kiri) bersama Go Pei Kee akhirnya berpisah selepas pasangan itu tidak mampu pergi jauh dalam kejohanan antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Loo Bing Kun-Go Pei Kee sah berpisah selepas ketua jurulatih, Nova Widianto mengesahkan gandingan itu tidak lagi diteruskan.

Jurulatih dari Indonesia itu menjelaskan keputusan tersebut dibuat selepas menilai prestasi mereka yang tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

Menurutnya, Terbuka Korea menjadi pentas terakhir pasangan itu apabila terkandas di pusingan kelayakan, sekali gus menutup perjalanan singkat mereka sebagai gandingan.

“Untuk Pei Kee-Bing Kun, saya rasa saya akan hentikan (gandingan mereka). Kejohanan di Korea adalah yang terakhir. Kerana melihat kepada keputusan serta penampilan mereka juga tidak berapa baik.

“Saya sudah menilai dan melihat gandingan ini sukar untuk pergi lebih jauh,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Nova menegaskan langkah itu sebahagian daripada rombakan kecil skuad beregu campuran yang akan dilaksanakan selepas Kejohanan Remaja Dunia di India bulan depan.

Beliau memaklumkan fokus baharu akan diberikan kepada Pei Kee yang kini terus digandingkan bersama Teoh Mei Xing dalam acara beregu wanita, gandingan yang menghuni ranking ke-19 dunia.

“Saya sudah melakukan perbincangan bersama Rexy Mainaky (Pengarah kejurulatihan beregu negara) kerana gabungan Bing Kun-Pei Kee tidak boleh diteruskan. Jadi, lepas ini Pei Kee fokus pada satu acara iaitu beregu wanita,” ujarnya.

Bing Kun sebelum ini sempat digandingkan bersama pemain beregu campuran utama negara, Toh Ee Wei dalam aksi Malaysia Masters Mei lalu selepas isu persefahaman dengan Chen Tang Jie.

Namun, sebaik pasangan Tang Jie-Ee Wei kembali digandingkan, Bing Kun tidak lagi memiliki rakan sepasukan dalam acara campuran hingga Nova cuba menguji kombinasi bersama Pei Kee bermula Julai lalu.

Untuk rekod, Bing Kun-Pei Kee hanya sempat menyertai empat kejohanan iaitu Terbuka Macau yang mara ke pusingan kedua, Cabaran Antarabangsa Malaysia (pusingan kedua), Terbuka Hong Kong (aksi kelayakan) dan Terbuka Korea. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN