Pemain tenang rungkai benteng Bangkok United - Munoz

Pemain tenang rungkai benteng Bangkok United – Munoz

Ketua Jurulatih JDT Munoz Javier pada sidang media selepas aksi perlawanan Liga Super 25/26 menentang Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memuji kesungguhan dan disiplin tinggi yang ditunjukkan pemain ketika mencari solusi merungkai benteng Bangkok United ketika menang besar 4-0 dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee, semalam.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, gaya permainan dalam dua babak permainan itu sangat berbeza ketika skuad Harimau Selatan cuba ‘menelaah’ permainan kelab Thailand itu.

“Sebaik sahaja pemain menemui jalan untuk membuka jaringan, saya cukup gembira. Ini kerana lawan yang kita hadapi ini bukan calang-calang, mereka memberi tentangan sengit.

“Bagaimanapun, pemain yang mempersembah aksi memukau pada babak kedua berjaya mengeksploitasi kelemahan lawan dan mula mencipta jaringan.

“Tahniah diucapkan kepada barisan pemain setelah mereka memberikan komitmen penuh di atas padang dan menunjukkan permainan yang berkesan,” katanya.

Pada perlawanan itu, JDT meledak empat gol pada babak kedua termasuk jaringan hatrik Bergson Da Silva bagi merekodkan kemenangan kedua dalam ACC Piala Shopee.

Munoz turut memuji gaya permainan Afiq Fazail yang memberikan kestabilan buat pasukan di bahagian tengah selain berperanan mematahkan serangan lawan sebelum ia mendatangkan bahaya kepada benteng pertahanan.

“Afiq seorang pemain yang berpengalaman dan tahu melaksanakan peranan yang diberikan dengan baik. Dia memberikan stabiliti buat pasukan, saya tidak salah memberikan kepercayaan kepadanya.

“Dia cukup bertenaga dan bekerja keras untuk memenangi setiap ‘duel’ demi kebaikan pasukan. Ini kelebihan dimiliki Afiq yang sangat berguna buat JDT,” katanya.

Munoz menuntut pemain untuk mengekalkan momentum kemenangan itu pada tahap yang tinggi dengan mempamer corak permainan yang berkualiti.

“Ketika ini pemain bijak melakukan transisi, menguasai permainan dan mempunyai benteng pertahanan ampuh, kita perlu teruskan memperkukuh asas ini mencabar diri kita menjadi lebih baik dan mencapai potensi sebenar.

“Dalam perlawanan lepas kita skor lapan gol dan perlawanan ini kita jaringan empat gol, sentuhan jaringan juga bertambah baik. Sebelum ini, kita banyak peluang tapi gagal buat jaringan, tapi kita semakin tajam,” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN