PETALING JAYA: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah membuktikan status selaku juara bertahan apabila mara ke separuh akhir Terbuka Hong Kong, hari ini.
Pilihan kedua kejohanan itu tidak berdepan masalah untuk mengetepikan cabaran rakan senegara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, menerusi kemenangan straight set 21-12, 21-15 dalam tempoh 31 minit.
Kejayaan tersebut menyaksikan Pearly-Thinaah kian hampir untuk mempertahankan kejuaraan yang mereka rangkul tahun lalu di Hong Kong Coliseum.
Bagaimanapun, laluan mereka ke final dijangka berliku apabila dijadualkan menentang pasangan No.4 dunia dari China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian pada aksi separuh akhir, esok.
Yi Fan-Shu Xian sebelum itu mara ke empat terbaik selepas menumpaskan gandingan Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu, 21-12, 21-7 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Rekod pertemuan menyaksikan juara bertahan itu tewas kepada gandingan China untuk empat kali berturut-turut termasuk menyingkirkan peluang mereka ke final Terbuka China, Julai lalu.
Untuk rekod, Pearly-Thinaah muncul juara edisi lalu selepas menundukkan pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning di pentas final. – UTUSAN










