IPOH: Pas dilihat tidak berpuas hati dengan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menamakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari Bersatu.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, tetapi Pas sendiri tidak ada calon Perdana Menteri dari parti itu bahkan imej ‘tepu’ Pas sukar untuk dinafikan.
Menurutnya, malah dengan tidak semena-mena, Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Mohd. Ridhuan Tee Abdullah menegur pimpinan Bersatu agar berhenti berebut soal siapa bakal Perdana Menteri jika Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan selepas menang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Senario ini menyukarkan PN untuk bergerak ke depan bagi menghadapi PRU16. Sekiranya gabungan itu gagal mencapai keputusan yang baik dalam PRN Sabah, PN akan menghadapi laluan sukar.
“Apatah lagi dalam keadaan PN tidak mempunyai pemimpin seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang kedudukannya dalam gabungan itu (Kerajaan Perpaduan) kukuh dan tidak tercabar.
“Rekod Muhyiddin pun tidak cemerlang malah harus diingat bahawa beliau pernah menyerah meletak jawatan selepas 18 bulan (menjadi Perdana Menteri), jelas di situ Muhyiddin tidak seperti Anwar.
“Pas juga mempamerkan kelemahan mereka apabila cuba mengutip MCA dan MIC yang sudah ditolak oleh bukan Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu baru-baru ini, parti itu meluluskan usul menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari Bersatu.
Berikutan itu, beberapa pihak termasuk Mohd. Ridhuan menegur pimpinan Bersatu agar berhenti berebut soal siapa bakal Perdana Menteri jika PN berjaya membentuk kerajaan selepas menang PRU16.
Beliau yang juga Timbalan MN menegaskan persoalan siapa Perdana Menteri tidak wajar dihebohkan terlalu awal kerana hal tersebut sepatutnya dibincangkan secara tertutup dalam kalangan kepimpinan, bukan menonjolkan seorang individu seolah-olah tokoh lain tidak layak.-UTUSAN










