Pas perlu tanya mana sumber dana Bersatu - Mohd. Puad

Pas perlu tanya mana sumber dana Bersatu – Mohd. Puad

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sengketa antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini semakin meruncing apabila isu dana pilihan raya pula dijadikan bahan serangan terbuka antara kedua-dua parti itu.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tuduhan pedas yang dilemparkan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor jelas ditujukan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga sanggup menyindir dengan cadangan ‘menggantung kain batik’.

Namun, katanya, serangan balas yang dibuat oleh Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad menimbulkan persoalan besar mengenai sikap Pas terhadap isu dana politik.

“Pertama, Pas tidak tahu bersyukur. Bersatu sudah bersusah payah menyediakan dana sehingga Pas mampu menang 43 kerusi. Kini giliran kain sarung Pas pula terlondeh.

“Kedua, apakah Pas rela bersubahat? Adakah Pas pernah bertanya dari mana sumber dana politik Bersatu diperoleh? Adakah ia wang halal atau wang rasuah?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mohd. Puad turut menyentuh mengenai pengakuan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, beliau melihat ‘duit berlonggok atas katil’ di bilik hotel Muhyiddin.

“Sekarang Pas dan Bersatu bergaduh pula tentang duit pilihan raya. Marzuki kata belanja minimum untuk satu kerusi Parlimen ialah RM1 juta. 

“Patutlah Perikatan Nasional (PN) nampak mewah pada Pilihan Raya Umum Ke-15, sedangkan gabungan itu baru ditubuhkan. Persoalannya, dari mana mereka dapat duit sebanyak itu?” katanya.

Terdahulu, Marzuki dilaporkan berkata, Bersatu turut menanggung kos perbelanjaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang memberi peluang kepada Pas memenangi 43 kerusi Parlimen iaitu satu jumlah besar dalam sejarah parti itu.

Katanya, Pas tidak menghadapi besar dalam perbelanjaan pilihan raya kerana parti itu bertanding menggunakan logo PN.

Semalam, Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan terdapat satu parti komponen PN bergantung kepada Pas untuk menghadapi PRU15. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×