ISU pemilikan sebahagian tanah masjid Jamek Ar Ridzuan Alor Pongsu di Bagan Serai, Perak oleh bukan Islam menjadi isu hangat pada Mei lalu.
Individu yang membangkit perkara itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali, 62, sehingga mencetuskan respons luar biasa rakyat dan kerajaan negeri apabila berjaya mengumpul sumbangan lebih RM1.8 juta hanya dalam tempoh 36 jam untuk membeli semula tanah masjid.

Noor Azman menyifatkan usahanya membangkitkan perkara itu sebagai tanggungjawab bukan sahaja sebagai seorang wakil rakyat tetapi juga sebagai seorang Islam.
Menceritakan bagaimana beliau membangkitkan perkara itu, Noor Azman berkata, beliau mengetahui perkara tersebut ketika menghadiri solat jenazah di kawasan berkenaan dan itulah pertama kali beliau dimaklumkan mengenainya sepanjang tiga tahun menjadi wakil rakyat.
Katanya, perkara itu mengejutkan kerana beliau kerap singgah di masjid berkenaan hampir setiap minggu untuk solat dan beramah mesra dengan masyarakat namun tidak pernah diberitahu tentang masalah itu yang sudah berlaku sejak 2012 lagi.
“Akhirnya, tanpa sebarang dokumen di tangan, saya membangkitkan perkara ini semasa sidang DUN Perak. Saya menganggap sebahagian tanah masjid yang dimiliki bukan Islam adalah bencana, sama seperti bencana banjir atau tanah runtuh.
“Menteri Besar dengan ikhlas memberitahu beliau tidak tahu menahu mengenainya. Alhamdulillah, beliau terus meminta saya datang ke pejabatnya untuk berbincang. Dalam pertemuan itu saya terangkan situasi sebenar dan menghubungi salah seorang jawatankuasa bertindak bagi menjelaskan perkara tersebut terus kepada Menteri Besar.
“Hasil perbincangan membawa kepada cadangan agar kutipan sumbangan solat Jumaat di seluruh Perak digerakkan bagi mengumpul dana membeli semula tanah itu yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta. Tidak lama selepas itu, Menteri Besar mengumumkan di majlis di Tronoh mengenai kutipan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
“Seruan itu mendapat sambutan luar biasa apabila hanya dalam tempoh 36 jam, jumlah kutipan berjaya mencapai lebih RM1.8 juta. Malah selepas itu, sumbangan orang ramai masih terus mengalir walaupun tabung telah ditutup,” katanya.
Menurutnya, beliau hanya pencetus untuk membangkitkan perkara itu kepada kerajaan negeri tetapi yang menggerakkan hati rakyat untuk membantu adalah kuasa Allah SWT.
“Saya lapang dada kerana sudah tunaikan tanggungjawab. Sekurang-kurangnya di akhirat kelak saya ada jawapan bahawa saya pernah berusaha menjaga masjid dan agama saya,” katanya.
LAWAT LIMA KAMPUNG SEHARI

MULA berkhidmat sebagai ADUN selepas diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November 2022, Noor Azman memegang prinsip menjadi seorang wakil rakyat bukanlah kemuncak yang dikejar untuk meraih kedudukan, sebaliknya ia adalah satu amanah yang berat dan perlu dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab.
Kejayaan menawan hati pengundi tidak datang secara tiba-tiba. Faktor arus politik nasional, kebangkitan pengundi muda serta penerimaan masyarakat terhadap corak kepemimpinannya menjadi antara penyumbang utama kepada kemenangannya.
“Saya bukan orang baru di sini (Alor Pongsu) Walaupun pertama kali bertanding dalam pilihan raya, rakyat sudah mengenali saya, sama ada melalui dunia pendidikan mahupun ketika saya berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit kepada bekas Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.
“Pengalaman saya menjadikan masyarakat lebih yakin terhadap corak kepimpinan saya yang sederhana dan dekat dengan rakyat,” katanya.
Membawa prinsip kepemimpinan tanpa warna atau colourless, Noor Azman menegaskan, beliau tidak memilih bulu dalam memberi khidmat kerana baginya, tanggungjawab sebagai wakil rakyat adalah amanah, bukan sahaja kepada pengundi tetapi juga kepada Allah SWT.
GUNA DUIT SENDIRI BANTU RAKYAT
SEBAGAI ADUN pembangkang, Noor Azman dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui wujud kekangan dalam melaksanakan program berskala besar di kawasannya.
Namun begitu, bantuan kebajikan seperti program Back to School bantuan hari raya dan bantuan kepada keluarga miskin tetap disalurkan dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi berkaitan.
“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar dan ketua-ketua jabatan kerana masih memberi kerjasama meskipun saya daripada blok pembangkang.
“Antara isu yang saya diberikan perhatian termasuklah pendidikan, kebajikan pelajar, bantuan kepada golongan sakit dan miskin, selain masalah berkaitan pertanian serta infrastruktur asas,” katanya.
Beliau turut mengimbau pengalaman membantu seorang pelajar anak yatim yang mendapat tawaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tetapi kekurangan kewangan.
Noor Azman menggunakan kenderaan dan perbelanjaan sendiri untuk memastikan pelajar itu dapat mendaftar pengajiannya.
“Saya percaya pendidikan mampu mengubah nasib seseorang. Kalau tidak mampu bantu dengan wang, saya cari jalan lain untuk meringankan beban,” jelasnya.
Mengulas falsafah politiknya, Noor Azman menegaskan konsep ‘suka dan duka’ sebagai pegangan kerana baginya, seorang wakil rakyat perlu sentiasa bersama rakyat dalam apa jua keadaan sama ada ketika susah mahupun senang.
“Saya menyerahkan segala-galanya kepada takdir namun saya tidak menolak kemungkinan untuk terus berkhidmat sekiranya diberi kesihatan dan kepercayaan rakyat. Ibarat kata-kata, ‘daun serai dalam perahu, belum try belum tahu,” katanya. – UTUSAN










