DARIPADA seorang pendidik, Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri menyertai politik sehingga menjadi wakil rakyat selepas menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning dalam Parlimen Tapah pada April lalu.
Beliau meletak jawatan sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh untuk bertanding dalam PRK Ayer Kuning dan memberikan khidmat untuk masyarakat DUN Ayer Kuning.
Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu berpegang pada prinsip lebih gemar turun padang daripada menerima laporan daripada pegawainya mengenai masalah rakyat.

“Saya suka berada di lapangan bertemu dengan rakyat berbanding menerima dan mendengar laporan untuk membolehkan memahami realiti yang berlaku dan melakukan analisis secara permukaan (surface) dan mendalam (deeply).
“Saya orang pendidikan bukan teknikal. Setiap kali turun padang, turut bersama agensi-agensi kerajaan negeri seperti jurutera daerah misalnya yang lebih arif terutamanya melibatkan perihal kemudahan asas.
“Pendekatan sedemikian membolehkan sesuatu isu yang berlaku dalam ‘radar’ pihak berwajib untuk diselesaikan mengikut tempoh tertentu yang akhirnya memudahkan urusan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Sebaik sahaja menjadi wakil rakyat, pendekatan pertama dilakukannya adalah menjadikan Rabu jika tiada urusan lain yang lebih penting sebagai hari bersemuka dengan rakyat bermula 10 pagi hingga petang.
“Saya lebih suka berada di lapangan bertemu dengan masyarakat tidak mengira lokasi iaitu kedai kopi, hentian bas malahan di tepi longkang sekalipun,” katanya.
Katanya lagi , dia juga tidak mengabaikan masalah lebih 40,000 penduduk Ayer Kuning yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk masyarakat Orang Asli.
“Saya sebagai wakil rakyat telah diberikan kepercayaan melaksanakan amanah iaitu mendahulukan rakyat berbanding diri sendiri dengan sebaik mungkin.

BIODATA
Dr. Mohamad Yusri Bakir
Umur: 54 tahun
– 8 April 1971
Status: Berkahwin dengan mempunyai empat anak
Jawatan: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning
Pendidikan Rendah/Menengah:
Sekolah Kebangsaan Temoh
Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh, Perak
Pendidikan tertinggi:
Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak
Jawatan dalam parti:
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah
Jawatan dalam kerajaan negeri:
Ahli Yayasan Perak
Santai:
Minuman dan makanan kegemaran adalah teh o ais dan nasi kandar ayam bawang, telur ikan dan kuah campur
Hobi membaca buku dan berjalan-jalan memerhati keadaan sekeliling.
Sekiranya tidak menjadi seorang ahli politik akan terus menjadi pendidik kerana telah sebati dalam jiwa.

“Realiti masalah sentiasa ada dan macam mana hendak selesaikan. Saya ada sedikit ‘kuasa’ sebagai ADUN yang membolehkan isu-isu rakyat untuk diselesaikan mengikut kepentingannya,” katanya.
Katanya, modal menetap lama di Ayer Kuning selain tugas profesionalnya sebelum ini sebagai guru dan pensyarah membolehkannya ada chemistry bersama rakyat.
“Saya pernah mengajar di beberapa sekolah di Ayer Kuning membuatkan ada ramai anak murid, kakitangan sekolah, ibu bapa termasuk ketua kampung dikenali rapat. Semua mereka, saya anggap ibarat pihak berkepentingan (stakeholder),” jelasnya.
KETUA KAMPUNG SEBAGAI DUTA KECIL
Pemegang Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohamad Yusri mempunyai mekanisme tersendiri iaitu menjadikan ketua kampung atau Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan
Keselamatan Kampung (JPKK) di DUN Ayer Kuning sebagai duta kecil bagi pihaknya.
“Kebanyakan mereka kawan-kawan juga, jadi tiada masalah hendak marah atau bergurau sekalipun mengikut situasi. Komitmen mereka penting kerana menjadi lapisan pertama yang lebih rapat dengan penduduk.
“Saya mempunyai grup WhatsApp tidak mengira kampung Melayu atau Cina untuk mengetahui pelbagai perkara termasuk kematian. Lebih penting mereka mendapat maklumat awal terlebih dahulu untuk tindakan susulan,” katanya.
Tambah beliau, perancangan dan program berterusan diadakan di 20 Pusat Daerah Mengundi di DUN itu membolehkan rakyat membuat aduan tanpa perlu ke pejabatnya. Ia lebih memudahkan urusan rakyat tanpa perlu mengeluarkan kos untuk ke pejabatnya .
PUSAT TVET
Berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia pendidikan, Setiausaha UMNO Bahagian Tapah ini amat berharap sebuah Pusat TVET Daerah Ayer Kuning dapat direalisasikan.
Beliau menjelaskan, pusat itu berbeza dengan institusi kemahiran sedia ada kerana integrasi program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang mewujudkan inovasi, rekacipta dan peluang pekerjaan baharu yang bersifat dinamik.
“Sebagai contoh ilmu TVET berkaitan automotif, ia bukan sekadar membaiki kenderaan tetapi pelajar terlibat dapat mewujudkan rekaan, komponen atau alat baharu yang mesra alam dan mempunyai nilai komersial yang tinggi.
“Ia ibarat katalis yang membolehkan wujudnya sektor pekerjaan baharu selain mempunyai nilai komersial yang tersendiri sekali gus memberi manfaat kepada negeri dan negara,” katanya. –UTUSAN










