Negeri Sembilan tewas tetapi mara ke suku akhir Piala FA

Negeri Sembilan tewas tetapi mara ke suku akhir Piala FA

PENYERANG Negeri Sembilan, Joseph Esso berjaya merampas bola daripada kawalan pemain PDRM FC pada aksi kedua pusingan 16 Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.-IHSAN NSFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Negeri Sembilan muncul pasukan pertama mengesahkan tempat ke suku akhir Piala FA meskipun tewas 0-1 kepada PDRM dalam aksi kedua pusingan 16 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Kekalahan itu bagaimanapun tidak menggugat langkah skuad Hobin Jang Hobin untuk mara dengan agregat 5-1, hasil kemenangan besar 5-0 di Paroi pada perlawanan pertama, 18 Ogos lalu.

PDRM yang beraksi di laman sendiri, memulakan kebangkitan awal apabila Fakhrul Azim Mohd Zulphatah meledak gol pada minit keempat apabila menanduk kemas hantaran silang Park Tae-soo.

The Cops hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-58 selepas dihadiahkan sepakan penalti susulan tindakan penjaga gol Negeri Sembilan, Azri Ghani menjatuhkan Bernard Doumbia.

Namun sepakan yang diambil Ahmad Israiwah melambung tinggi melepasi palang sekali gus memberi kelegaan kepada Azri Ghani.

Tidak lama kemudian, Doumbia sekali lagi berpeluang menjaringkan gol, tetapi percubaannya dalam kotak penalti berjaya ditepis keluar oleh Azri Ghani.

Negeri Sembilan yang dibimbing Nidzam Jamil cuba kembali menguasai permainan dengan memasukkan tonggak utama termasuk Jovan Motika, tetapi terus buntu mencari gol.

Kemaraan itu menyaksikan Negeri Sembilan kini menanti lawan di suku akhir, sama ada Selangor atau Malaysian University.

Kedua-dua pasukan itu akan berentap esok di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, dengan Selangor memiliki kelebihan 3-1 pada aksi pertama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN