MPM, Crux Institute tawar ilmu keusahawanan buat atlet Paralimpik

MPM, Crux Institute tawar ilmu keusahawanan buat atlet Paralimpik

PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM, Megat Shahriman bergambar bersama Dr Darren selepas menandatangani MoU.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) hari ini mengumumkan inisiatif penting bersama Crux Institute bagi membantu atlet Paralimpik negara melakukan transisi kehidupan selepas persaraan melalui bidang keusahawanan.

Kerjasama yang dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) itu menyaksikan pelancaran REFRAME: From Champions to Change-Makers.

Ia adalah sebuah program khas yang direka untuk membekalkan atlet dengan kemahiran, bimbingan mentor industri dan laluan pensijilan akademik.

Program ini turut terbuka kepada atlet pelapis serta atlet muda para lepasan SPM.

Menariknya, program yang mengambil masa selama 12 bulan ini menggabungkan pembelajaran formal, latihan praktikal serta peluang pembiayaan mikro, dengan kumpulan pertama akan bermula pada 1 Oktober depan.

Presiden MPM, Datuk Sri Megat Shariman Zaharudin menegaskan bahawa inisiatif ini menjadi jawapan kepada keperluan sebenar atlet selepas karier sukan mereka berakhir.

“Program ini menterjemahkan disiplin, ketabahan dan kepimpinan yang dibina dalam sukan kepada kejayaan dalam perniagaan. Ia tentang kesinambungan, maruah dan peluang selepas bersara,” katanya.

Bagi kebanyakan atlet, kehidupan selepas sukan sering dihantui ketidaktentuan namun melalui REFRAME, mereka ditawarkan laluan lebih tersusun dengan sokongan kemahiran, jaringan dan peluang pembiayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Crux Institute, Dr. Darren Ng pula menambah: “Atlet sudah mempunyai tabiat berprestasi tinggi. Peranan kami adalah menukarkan tabiat itu kepada kelebihan pasaran, membolehkan mereka membina perniagaan yang mampan”.

Langkah strategik ini bukan sahaja menambah baik kebajikan atlet para, malah memastikan legasi mereka terus bersinar melangkaui kejayaan di podium dengan memenangi pingat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN