LANGKAWI: Malaysia Pro Cycling (MPC) berjanji tampil lebih mantap dan berdisiplin menjelang perlumbaan pembukaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang bakal mengelilingi Pulau Langkawi esok, biarpun ramalan cuaca menjangkakan hujan.
Pengarah Sukan MPC, Mohd. Sayuti Mohd. Zahit menegaskan, segala persiapan telah dilakukan sejak dua bulan lalu termasuk menyertai beberapa siri perlumbaan serta mengadakan kem latihan intensif.
“Persiapan kali ini lebih kemas berbanding tahun lepas. Kalau betul hujan, perlumbaan akan jadi lebih menarik dan terbuka.
“Biasanya isu mekanikal seperti tayar pancit akan kerap berlaku, itu lumrah bila jalan licin,” katanya ketika ditemui semalam.
Enam pelumba akan menggalas cabaran MPC kali ini dengan kapten, Muhammad Zawawi Azman mengetuai barisan bersama Akmal Hakim Zakaria, Muhammad Syawal Mazlin, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil, Ahmad Syazrin Awang Ilah dan Zulfikri Zulkifli.
Menurut Sayuti, faktor pemilihan tayar akan menjadi antara strategi penting sekiranya hujan turun pada perlumbaan esok.
“Kita tidak mahu kelam-kabut di saat genting. Kalau hujan, kita perlu tukar tayar lebih sesuai. Apa pun, pasukan sudah sedia dengan segala kemungkinan,” tegasnya.-UTUSAN