Ketika Cik Bunga mendengar gosip ini sampai ke telinga, Cik Bunga pun seakan tidak percaya juga. Tetapi kalau sudah namanya cinta, apa sahaja yang tidak mustahil, betul tak?
Alkisah, Cik Bunga dengar, pelakon kacak ini kononnya ada hubungan istimewa dengan cucu seorang tokoh negara yang disegani ramai.
Cantik orangnya, tetapi apa yang Cik Bunga suka bila dengar keperibadian wanita itu, dia merupakan seorang individu yang sangat merendah diri. Walaupun susur galurnya daripada sebuah keluarga yang sangat disegani, wanita muda itu tidak kisah pun bekerja dari bawah.
Mungkin dia mahu mencari pengalaman dan ilmu berdikari. Ada sahaja individu begitu. Walaupun daripada keluarga kaya, berada, terkemuka, tetapi mahu memiliki laluan kerjaya sendiri.
Okey, berbalik kepada kisah ‘hubungan’ Mierul dengan wanita itu, Cik Bunga tidak pasti pula sejak bila ia mula mekar. Tetapi dengar-dengarnya, mereka berdua mula bertemu di sebuah acara hiburan.
Tidak tahu mana yang betul, cuma, iya, Mierul pun nampak selesa berkawan dengan wanita terbabit.
Mungkin ramai tidak perasan sangat sebab kononnya kedua-dua mereka pun tidak menunjuk sangat di media sosial.
Tetapi, kalau betul lah Mierul dan cucu tokoh negara itu bercinta, wah… memang menarik kisah mereka ini.
Cik Bunga pasti, Mierul pun pasti berbangga dapat mengenali keluarga tokoh negara itu.
Ya, sehingga ke ayat ini, Cik Bunga tidak sebut siapa tokoh negara itu. Pandai-pandailah netizen korek sendiri. Masing-masing pun memang mahir bab ini kan? Okey Cik Bunga gurau sahaja.