TUARAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar memukat ikan di Muara Sungai Serusup sejak Sabtu lalu ditemui meninggal dunia di Pantai Kelambu, Kudat, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, TPgB II Mohamad Nor Amit berkata, mangsa dikenali sebagai Husaini Saidin, 34, keluar ke laut pada pukul 4.30 pagi 30 Ogos namun tidak pulang ke rumah sehingga mencetuskan kebimbangan keluarganya.
Menurut beliau, penduduk kampung kemudian menemui bot milik mangsa dalam keadaan rosak di tebing muara sebelum laporan polis dibuat pada 1 September.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pukul 9 pagi dengan radius pencarian sejauh 15 kilometer melibatkan kawasan pesisir pantai Kampung Serusup, perairan Lok Senang dan Lok Pisok.
“Pencarian dijalankan menggunakan bot penyelamat manakala unit penyelam PPDA melakukan selaman sehingga kedalaman empat meter. Operasi turut dibantu unit dron PDRM dan D’Bayu bagi pemantauan dari udara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, Balai Bomba Kudat menerima laporan penemuan satu mayat terdampar di Pantai Kelambu pada pukul 2.14 petang, semalam.
“Mayat dibawa ke hospital untuk pengecaman sebelum disahkan oleh pihak polis sebagai mangsa yang dilaporkan hilang. Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 7.10 malam,” katanya.
Seramai 22 anggota penyelamat terlibat dalam operasi ini termasuk pasukan dari BBP Tuaran, Unit PPDA, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bantuan orang awam. – UTUSAN










