MOTEGI: Marc Marquez akan bermula di petak ketiga Grand Prix (GP) Jepun selepas Francesco Bagnaia mencuri tumpuan dengan memecah rekod catatan masa, hari ini.
Marquez yang kini memburu kejuaraan dunia ketujuh, hanya perlu mengutip tiga mata lebih daripada adiknya Alex Marquez untuk mengesahkan gelaran.
Bagnaia yang juga juara dunia dua kali, menutup aksi kelayakan dengan catatan 1 minit 42.911 saat (s) sekali gus memadam rekod lama.
“Tiada siapa kata ia mudah. Saya rasa semakin baik, memang benar kemalangan itu jejaskan keyakinan
“Namun dalam kelayakan saya kembali selesa dengan jentera,” kata Marquez yang mengalami kemalangan pada sesi latihan bebas pagi tadi.
Bagnaia yang sebelum ini bergelut musim ini, nyata kembali garang di Motegi dengan prestasi luar biasa di hujung sesi.
“Perasaan ini sungguh luar biasa, saya rasa mampu menekan dan lakukan apa saja dengan motosikal, sesuatu yang hilang tahun lalu,” kata Bagnaia.
Sementara itu, Joan Mir menempah petak kedua manakala Alex Marquez di petak kelapan, dengan Pedro Acosta keempat walaupun hadapi masalah teknikal. – AGENSI