MADRID: Pendahulu kejuaraan MotoGP 2025, Marc Marquez mengakui Mandalika dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal menjadi pusingan paling mencabarnya untuknya musim ini.
Pelumba Ducati itu terjatuh kali pertama dalam perlumbaan pecut musim ini di Misano, namun
kejayaan menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) pada Ahad memastikan dia tidak kehilangan
mata berbanding adiknya, Alex.
Marquez menuju ke Jepun dengan kelebihan 182 mata serta berpeluang mengesahkan gelaran
dunia musim ini dengan Motegi akan membuka tirai siri perlumbaan ‘flyaway’ yang turut
membabitkan Mandalika, Phillip Island dan SIC.
Apabila ditanya pusingan mana paling sukar, pemenang 11 daripada 16 GP dan 14 perlumbaan
pecut itu berkata, Litar Mandalika dan SIC merupakan antara yang paling mencabar.
“Mandalika, kita lihat tahun ini sama ada saya mampu bersaing untuk menang, tetapi setakat ini
saya belum pernah menamatkan perlumbaan Grand Prix di sana,” katanya.
Mandalika mula menyertai kalendar MotoGP pada 2022, ketika Marquez mengalami gegaran
otak selepas terjatuh dalam sesi pemanas badan. Dia disahkan tidak cergas untuk berlumba
dan kemudian didiagnosis kembali dengan masalah penglihatan berganda.
“Saya harap kali ini saya dapat menamatkan perlumbaan pada hari Ahad buat kali pertama, dan
kita lihat sama ada saya boleh berada di podium,” katanya.
Selepas mencatat kemenangan sulung di Red Bull Ring musim ini, serta menjuarai perlumbaan
sulung di Balaton Park, kini hanya Mandalika dan Portimao yang belum pernah dimenangi
Marquez dalam kalendar perlumbaan.
Sementara itu, Marquez pernah meraih dua kemenangan daripada 10 penampilan di MotoGP
Malaysia, masing-masing pada 2014 dan 2018.
“Jadi Mandalika bersama dengan Sepang, mungkin trek paling sukar, tetapi apa sahaja boleh
berlaku,” katanya. – AGENSI