JOHOR BAHRU: Rancangan pembelian jet pejuang F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait akan dikaji semula berikutan Kementerian Pertahanan belum menerima kata putus bila ia boleh diperoleh.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini Kerajaan Kuwait sedang menunggu tarikh penyerahan jet pejuang baharu yang dibeli dari Amerika Syarikat (AS).
Katanya, pihaknya dimaklumkan terdapat penangguhan penyerahan jet pejuang dari AS itu yang mana tarikhnya belum ditetapkan.
“Saya difahamkan jet pejuang yang Kuwait patut terima daripada AS ditangguhkan lagi. Tentunya kita tidak boleh tunggu tanpa kita tahu bila kita boleh dapat kerana Kuwait hanya boleh serahkan jet mereka kepada kita apabila mereka dapat jet baharu.
“Sehingga hari ini, AS masih belum ada ketentuan, jadi sekarang kita berdepan isu, kerana kita tidak tahu berapa lama perlu tunggu. Jadi kita perlu ada option (pilihan) lain, namun buat masa ini kita akan hantar kumpulan untuk buat penilaian terhadap keperluan pembelian pesawat dari Kuwait tersebut,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Wakalah BH Petrol di Dewan Muafakat Taman Air Biru di sini, hari ini.
Pada 26 Ogos lalu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhammad Norazlan Aris dilaporkan berkata, pihaknya sedang meneliti setiap aspek sebelum membuat keputusan muktamad rancangan pembelian jet pejuang F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait.
Beliau menolak dakwaan bahawa perjanjian itu telah dibatalkan, sambil menegaskan bahawa semua pertimbangan masih dalam proses penilaian ketika ini.
Mohamed Khaled berkata, pembelian 18 jet pejuang FA-50 dari Korea Aerospace Industries (KAI) yang bakal diterima pada 2027 akan menampung keperluan pengoperasian Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Selain itu, kita juga akan melihat kemampuan jet pejuang Sukhoi yang dimiliki ketika ini sama ada ia mencukupi untuk keperluan pertahanan negara.
“Kajian terperinci perlu dibuat kerana bermula 2027, semua pesawat tempur ringan, Hawk 108 dan Hawk 208 akan ditamatkan perkhidmatan secara berfasa,” katanya.
Pesawat Hawk yang dibeli Malaysia pada 1994 telah berusia lebih 30 tahun. – UTUSAN









