LTdL 2025 perkenal Kategori ASEAN

LTdL 2025 perkenal Kategori ASEAN

EMIR Abdul Jalal (tengah) bersama Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah (kanan) dan Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Samsulmuddin Sulaiman semasa sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Pelarasan LTdL di Langkawi, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) yang akan bermula Ahad ini menyaksikan kelainan apabila satu kategori ditambah membabitkan pelumba ASEAN.

Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, kategori itu sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bagi mengiktiraf pelumba terbaik dalam kalangan rantau itu

Katanya, gelaran berkenaan juga dijangka memberi gambaran awal kepada pemenang acara berbasikal pada Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.

“Perlumbaan peringkat pertama mengelilingi lokasi ikonik iaitu Pulau Langkawi sejauh 96.7 kilometer (km) akan melibatkan penutupan 19 jalan utama secara berperingkat.

“Penutupan dijadualkan bermula seawal pukul 8 pagi, namun laluan yang akan digunakan pelumba tidak ditutup sepenuhnya tetapi secara berperingkat apabila ada pelumba melalui kawasan itu.

“Kita menjangkakan bagi setiap laluan, jalan akan ditutup kepada pengguna kira-kira sehingga setengah jam,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Pelarasan LTdL di Pejabat Daerah Langkawi, di sini, hari ini.

Beliau turut meminta penduduk Langkawi untuk merancang perjalanan pada hari tersebut, dan orang awam juga boleh melihat laluan dan anggaran masa perlumbaan di laman web www.letourdelangkawi.my.

Antara jalan terlibat adalah Jalan Padang Matsirat; Jalan Lencongan Putra 1; Jalan Penarak; Jalan Ayer Hangat; Jalan Pantai Kok; Jalan Kuala Teriang; Jalan Nyior Chabang; Jalan Ulu Melaka; Jalan Makam Mahsuri dan Jalan Mata Air.

“Laluan lain yang terlibat Jalan Padang Matsirat; Jalan Lapangan Terbang; Jalan Kuala Muda; Jalan Bohor Tempoyak; Jalan Pantai Tengah; Jalan Teluk Baru; Lebuhraya Teluk Baru dan Jalan Bukit Malut,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca hujan pada hari perlumbaan dan akan turut menempatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan laluan perlumbaan sentiasa selamat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN