Kehadiran Trump beri peluang rakyat Malaysia kecam secara berdepan - PU Rahmat

Kehadiran Trump beri peluang rakyat Malaysia kecam secara berdepan – PU Rahmat

PU RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jemputan lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia bagi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dilihat sebagai peluang untuk negara tampil lebih berani mengecamnya secara langsung di tanah air sendiri.

Pendakwah bebas, PU Rahmat atau nama sebenarnya Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan berkata, berbanding kecaman di pentas antarabangsa yang sering dipandang sepi, peluang mengecam Trump secara terbuka di Malaysia mampu memberi kesan lebih berani dan bermakna.

Katanya, walaupun kedatangan itu dilihat sensitif terhadap solidariti bersama Gaza, namun, ia boleh diimbangi dengan peranan besar Malaysia dalam menjadi penaung rasmi Sumud Flotilla.

“Mengecam Trump berkaitan Palestin di rumah kita sendiri lebih gah dan berani, walaupun Trump tidak peduli pun kena kecam sebab sudah berpuluh Presiden dan Wakil Negara mengecam AS di UN.

“Adakah menerima Trump di Malaysia tidak sensitif terhadap Gaza? Boleh jadi ya tetapi saya percaya di mata rakyat Gaza, Malaysia sudah cukup besar jiwa dengan menjadi Penaung Rasmi Sumud Flotilla.

“Kita boleh teruskan demonstrasi untuk menekan Trump dan menunjukkan betapa tidak sukanya kita terhadap AS,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambahnya, kehadiran Presiden AS itu ke Malaysia juga perlu dilihat dari sudut positif, bukan semata-mata emosi.

Katanya, perkara itu sepatutnya dimanfaatkan sebagai platform diplomasi dua hala, selain memberi mesej jelas mengenai pendirian Malaysia terhadap kuasa besar dunia.

“Saya berbeza pandangan berkaitan kehadiran Trump ke Malaysia. Dia lebih baik datang ke Malaysia.

“Trump bukannya orang gila yang tidak tahu sifir atau pengiraan untung rugi. Kehadiran dia ke Malaysia sedikit sebanyak mengiktiraf kepentingan ASEAN dalam kek ekonomi dunia masa kini

“Kita rugi jika tidak menggunakan peluang ini untuk bincang balik berkaitan tarif dan polisi berkaitan semikonduktor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN