PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menentang keras jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN dengan menyifatkan pemimpin itu sebagai ‘syaitan besar’.
Menerusi catatan Minda Presiden, Abdul Hadi berkata, Trump menggoda masyarakat dunia dan menjadi pendamai yang zalim apabila meletakkan syarat supaya kumpulan rakyat Palestin yang berjuang demi mempertahankan diri dan tanah air dilucutkan senjatanya.
“Sudah puluhan ribu kanak-kanak menjadi korban keganasannya, apatah lebih besar lagi angkanya kalau dicampurkan dengan kaum wanita, warga tua dan pesakit yang berada di hospital.
“Pada masa yang sama, Israel juga telah memusnahkan rumah kediaman, khemah pelarian dan rumah ibadat, sehingga turut membunuh petugas bantuan kemanusiaan,” katanya hari ini.
Abdul Hadi berkata, walaupun jenayahnya telah disabitkan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan diputuskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC), namun Trump dan pentadbirannya tetap menunjukkan sokongan tanpa syarat kepada rejim Zionis.
Katanya, AS bukan sahaja menggunakan kuasa veto untuk membatalkan semua keputusan tersebut, bahkan turut membantu dengan segala jenis senjata dan bantuan ketenteraan secara langsung kepada Israel dengan arahan yang nyata oleh Trump.
Beliau berkata, Trump turut ‘menggoda’ rakyat Palestin dengan bantuan kewangan yang paling besar jumlahnya supaya menerima penyelesaian dua negara (two-state solution).
“Mereka dipaksa berpindah dengan meninggalkan Palestin dan menyerah kepada Israel dalam keadaan Israel terus merampas kawasan yang masih menjadi tempat rakyat Palestin yang terpaksa berlindung. Namun, semua tawaran itu ditolak oleh rakyat Palestin yang tinggi maruahnya,” katanya.
Kata Abdul Hadi, alasan menjemput Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN atas dasar ingin meramaikan kawan atau memperluas jaringan diplomasi adalah hujah yang rapuh dan tidak boleh diterima oleh akal waras.
Katanya, apatah lagi jika Malaysia benar-benar tegas dalam pendirian membela perjuangan rakyat Palestin.
Trump dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di ibu negara Oktober ini. – UTUSAN










