PETALING JAYA: Selangor FC terus dilanda duka apabila hasrat untuk bangkit mencipta kemenangan tidak kesampaian apabila ‘dihadiahkan’ kekalahan kedua berturut-turut dalam dua kejohanan berbeza.
Skuad Gergasi Merah yang turun ke Stadium Negeri di Kuching dengan ‘mood’ kurang baik selepas tunduk 2-4 kepada Bangkok United pada aksi sulung Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), Khamis lalu, ditambah luka selepas tewas 1-0 ditangan Kuching City, kelmarin.
Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menerima kekalahan itu dan mengakui kesilapan anak buahnya terlalu memberi pihak lawan ruang antara kelemahan yang jelas berlaku dalam perlawanan itu.
Katanya, secara keseluruhan pemain telah berusaha keras untuk bangkit untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata tetapi ianya tidak berhasil kerana pasukan lawan turut bermain dengan baik.
“Perlawanan yang sukar kerana kami baru sahaja bermain dua hari lepas. Kami juga terlalu banyak bagi pihak lawan ruang untuk melakukan hantaran pada babak pertama.
“Tetapi pada babak kedua kami bermain lebih baik dan teratur, ia berhasil buat pemain lawan kelihatan sedikit keletihan. Namun kami melepaskan gol menerusi situasi sepakan bola mati. Gol itu sudah tentu buat lawan lebih bersemangat dan kita pula sudah kurang bertenaga untuk lakukan kebangkitan.
“Ia satu pembelajaran yang baik kepada pemain untuk hadapi perlawanan akan datang. Dalam tempoh tiga hari lagi kita akan ada perlawanan lagi,” katanya selepas perlawanan, semalam.
Pada aksi itu, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak memperolehi gol tunggal menerusi ledakan Ramadhan Saifullah Usman pada minit ke-68, dan hampir bermain 10 pemain berikutan pemain tengah, Danial Amier Norhisham dilayangkan kad merah kerana mengasari Alvin Fortes pada babak pertama.
Bagaimanapun Kuching City menarik nafas lega apabila kad merah itu dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) dengan Danial Amier hanya dilayangkan kad kuning.
“Tentang perkara itu, ia bukan kerja saya jadi saya terima apa sahaja keputusan pengadil. Perkara paling penting saya harap pemain saya tidak mengalami kecederaan yang serius. Kad kuning atau merah itu tugas pengadil bukan saya,” tegas Kinoshi.
Sementara itu, penjaring gol kemenangan, Ramadhan menyifatkan kejayaan meraih tiga mata bukan kerana dirinya seorang tetapi atas usaha keras semua rakan sepasukan.
“Alhamdulillah semua rakan sepasukan telah memberi yang terbaik sepanjang 90 minit untuk mencatat kemenangan hari ini. Kita tahu Selangor mempunyai pemain berkualiti dan mereka bermain di ACL2.
“Kemenangan ini untuk pasukan dan penyokong yang hadir beri sokongan. Kami akan terus berusaha untuk mendapatkan kedudukan paling terbaik musim ini,” ujarnya.
Kemenangan itu membolehkan Kuching City merampas kedudukan keempat liga dari Selangor dengan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi empat perlawanan.-UTUSAN