Kelantan TRW singkir KL City FC

Kelantan TRW singkir KL City FC

PEMAIN KL City, Kpah Sherman diasak pemain pertahanan Kelantan TRW, Albert Kang pada aksi kedua Pusingan 16 Piala FA 2025 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi-UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kelantan The Real Warriors (TRW) mencipta sensasi apabila mara ke suku akhir Piala FA 2025 selepas menyingkirkan KL City FC dengan kemenangan agregat 3-2 meskipun tewas 0-1 pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi

KL City yang turun dengan misi wajib menang cuba menguasai permainan sejak awal perlawanan dengan beberapa deretan peluang dicipta, namun ketumpulan jentera serangan nyata menghantui skuad kendalian Risto Vidakovic itu.

Pada minit kelapan, tuan rumah hampir membuka tirai jaringan namun peluang keemasan itu gagal dimanfaatkan. Tiga minit kemudian, Habib Haroon melepaskan rembatan dari luar kotak penalti tetapi sekadar tersasar.

Kpah Sherman turut hampir memecah kebuntuan pada minit ke-12, namun rembatan penyerang import itu juga melewati palang.

Stadium Cheras hampir bergema pada minit ke-14 apabila Safawi Rashid berjaya membolosi gawang Kelantan, tetapi gol tersebut dibatalkan selepas semakan VAR mengesahkan beliau berada pada kedudukan ofsaid.

Nicolao Manuel Dumitru Cardoso pula mensia-siakan peluang terbaik pada minit ke-29 selepas percubaannya melambung tinggi biarpun hanya berdepan penjaga gol lawan.

Hujung babak pertama menyaksikan tandukan Dmytro Lytvyn hasil sepakan penjuru turut gagal menemui sasaran.

Bersambung babak kedua, KL City terus menekan namun penyudah yang tumpul memaksa penyokong tuan rumah resah.

Sherman sekali lagi melepaskan peluang keemasan pada minit ke-46, manakala percubaan Sean Selvaraj pada minit ke-51 hampir menghadiahkan gol buat pelawat.

Penjaga gol Kelantan, Damyanov Damyan Valeriy pula menjadi benteng kebal apabila menafikan rembatan Victor Ruiz Abril pada minit ke-63.

Safawi sekali lagi mengecewakan KL City selepas percubaannya pada minit ke-68 hanya singgah di tepi jaring.

Akhirnya, kebuntuan terlerai pada minit ke-71 apabila Ruiz meledak gol untuk meletakkan KL City 1-0 di hadapan.

Namun jaringan tunggal itu tidak mencukupi buat tuan rumah yang ketinggalan pada aksi pertama di Kota Bharu.

Percubaan pemain gantian Antonio Gomes pada minit ke-73 serta rembatan deras Lambert yang sekadar menggegar palang pada minit ke-83 menutup malam penuh kecewa buat The City Boys.

Keputusan 1-0 di Cheras itu tetap tidak mampu menghalang Kelantan The Real Warriors mara ke suku akhir dengan agregat 3-2 sekaligus satu kejutan besar yang menenggelamkan KL City di laman sendiri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN