PETALING JAYA: Kelab divisyen tiga Sepanyol, Unionistas de Salamanca CF menggantung pertahanan mereka, Gabriel Palmero susulan hukuman penggantungan 12 bulan yang dijatuhkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Palmero adalah antara tujuh pemain kebangsaan Malaysia yang dikenakan tindakan oleh FIFA kerana didakwa menggunakan dokumen palsu bagi kelayakan Piala Asia menentang Vietnam awal tahun ini.
Enam lagi pemain terbabit ialah Rodrigo Holgado, Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Dalam kenyataan rasmi, Unionistas memaklumkan mereka menerima notis daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenai tindakan disiplin itu dan kini sedang mengumpul maklumat penuh sebelum menentukan langkah seterusnya.
“Unionistas de Salamanca CF telah menerima pemberitahuan bahawa Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemainnya, termasuk pemain kami Gabriel Felipe Arrocha ‘Palmero’, kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA,” jelas kenyataan itu.
Kelab itu menegaskan Palmero akan diketepikan daripada semua aktiviti pasukan sehingga menerima arahan rasmi baharu.
“Kelab kini sedang mengumpulkan semua maklumat berkaitan kes berkenaan bagi menilai tindakan yang sesuai. Pemain akan kekal digantung daripada aktiviti kelab sehingga makluman lanjut,” tambah kenyataan terbabit.
Sementara itu, nasib sama turut menimpa Holgado dan elabnya, America de Cali akan terus berhubung rapat dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai status pemain mereka ketika ini.-UTUSAN