PETALING JAYA: Kem terjun negara terus cemerlang apabila menambah dua lagi pingat perak pada hari kedua Kejohanan Akuatik Asia di Kompleks Sukan Veer Savarkar, Ahmedabad, India hari ini.
Dalam acara seirama 10 meter (m) platform wanita, gandingan Nur Eilisha Rania Abrar Raj dan Nurul Farisya Alia menghadiahkan perak selepas mengumpul 235.86 mata daripada lima terjunan.
Pasangan muda negara itu menamatkan saingan di tempat kedua daripada tujuh pasangan, dengan emas menjadi milik penerjun China, Wu Xia Han-Liu Zi Han yang mengutip 317.04 mata.
Gangsa pula menjadi milik pasangan Indonesia, Gladies Lariesa Haga-Lina Betiliana yang mengumpul 209.58 mata, jauh ketinggalan berbanding pencapaian wakil Malaysia.
Bagi Eilisha, pingat perak tersebut merupakan yang kedua diraihnya selepas turut bergandingan dengan Ong Ker Ying untuk acara seirama 3m papan anjal wanita semalam.
Turut mencuri perhatian, pasangan Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold yang bergandingan mantap untuk menghadiahkan perak dalam acara seirama 10m platform lelaki dengan kutipan 329.73 mata.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan kem terjun negara mengumpul keseluruhan lima pingat perak setakat dua hari pertama kejohanan berprestij Asia tersebut. – UTUSAN