Johor sasar akhiri badi lapan tahun, bawa pulang Piala Agong

Johor sasar akhiri badi lapan tahun, bawa pulang Piala Agong

PENGERUSI Jawatankuasa Belia Sukan , Pembangunan, Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor , Mohd Hairi Mad Shah (tengah) bergambar dengan penaja-penaja di dalam Majlis sidang media Karnival Ragbi Johor, Edisi Ke -13, Tahun 2025 di Grand Paragon Hotel, Johor Bahru.-UTUSAN BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasukan Ragbi Johor berhasrat untuk membawa pulang Piala Agong, sekali gus menamatkan penantian selama lapan tahun setelah kali akhir memenanginya pada 2017.

Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Johor, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, kemenangan itu secara tidak langsung mengubati kekecewaan tewas pada aksi final kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), musim lalu.

Beliau berkata, keyakinan untuk muncul juara itu hadir setelah pasukan yang diperkuat dengan kemasukan pemain import apabila memenangi kesemua empat perlawanan di peringkat kumpulan B.

Katanya, sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 1984, Johor menang dua kali iaitu pada 2013 dan 2017.

“Kita juga pernah mara ke final pada 2016, serta 2024. Insya-Allah, pada edisi kali ini kita mengharapkan dapat menjulang kejuaraan semula.

“Kita sudah buat persiapan rapi dengan barisan pemain majoritinya anak Johor daripada program pembangunan negeri, selain disokong pemain import dan naturalisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Johor Rugby Carnival 2025 di Hotel Grand Paragon, di sini hari ini.

Dalam kejohanan musim ini, Johor memperkukuh reputasi sebagai gergasi ragbi negara apabila menamatkan saingan Kumpulan B dengan rekod sempurna, mengekalkan rekod tanpa kalah menjelang pusingan kalah mati.

Perlawanan ragbi Piala Agong 2025, bagi saingan suku akhir dijadual berlangsung pada 11 Oktober depan di empat venue berbeza.

Aksi separuh akhir pula akan berlangsung pada 18 Oktober di dua venue terpilih sebelum kemuncak kejohanan yang turut menampilkan perebutan tempat ketiga dan keempat dijadual berlangsung pada 26 Oktober di Stadium UM Arena.

Mohd. Noorazam berkata, buat masa ini, pasukannya memberi tumpuan bagi meningkatkan prestasi pasukan dan memperbaiki kelemahan di setiap sudut.

“Setakat ini, kita belum tahu siapa lawan di peringkat seterusnya, fokus utama Johor adalah membaiki kelemahan sendiri dan terus meningkatkan prestasi.

“Apa yang penting, kita meningkat secara konsisten untuk mencapai objektif menjulang Piala Agong,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN