TOKYO: Jerman, Perancis, Austria dan Argentina masing-masing menempah tiket ke Final 8 Piala Davis selepas menewaskan lawan dalam aksi kelayakan pusingan kedua, hari ini.
Jerman menamatkan cabaran Jepun 4-0 di Tokyo apabila gandingan beregu Kevin Krawietz-Tim Puetz serta pemain muda Justin Engel melengkapkan kemenangan selepas mendahului 2-0 pada hari pertama.
Kapten Jerman, Michael Kohlmann mengakui suasana dalam pasukan sangat meriah selepas pengesahan layak ke pusingan akhir di Bologna pada November ini.
“Sekarang bilik persalinan penuh dengan nyanyian dan tarian, kami sudah tidak sabar ke Bologna dan berharap dapat melangkah lebih jauh,” kata Kohlmann.
Argentina turut mara selepas Andres Molteni dan Horacio Zeballos memastikan kemenangan mutlak 3-0 ke atas Belanda yang merupakan finalis tahun lalu.
Austria pula berhempas pulas sebelum menundukkan Hungary 3-2 dengan Jurij Rodionov memastikan mata penentuan menerusi kemenangan mudah ke atas Marton Fucsovics.
Perancis mengesahkan slot Final 8 selepas Corentin Moutet menewaskan Marin Cilic sekali gus menoktahkan kemenangan 3-1 ke atas Croatia di Osijek.
Dalam satu lagi aksi, Belgium dan Denmark mendahului 2-0 masing-masing ke atas Australia dan Sepanyol dengan Holger Rune serta Raphael Collignon mencuri tumpuan. – AGENSI