JDT mula langkah kiri, tumbang kepada Buriram

JDT mula langkah kiri, tumbang kepada Buriram

PEMAIN JDT, Joao Figueiredo diasak pemain Buriram United dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Arena Chang, Thailand, sebentar tadi-IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 kepada Buriram United dalam aksi pembukaan Kumpulan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Arena Chang, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan terus kempunan untuk menewaskan wakil Thailand berkenaan selepas empat pertemuan, dengan rekod kini memihak kepada Buriram dua kemenangan dan dua seri.

JDT yang bermula garang hampir membuka jaringan seawal 24 saat menerusi Joao Figueiredo, namun gol tersebut dibatalkan pengadil selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati bola terkena tangan sebelum disudahkan penyerang Brazil itu.

Buriram turut berpeluang mendahului pada minit ketujuh menerusi Guilherme Bissoli tetapi jaringan itu juga dibatalkan kerana ofsaid.

Anak buah Xisco Munoz akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-28 selepas sepakan tandukan Jon Irazabal ditepis Neil Etheridge sebelum Cristian Glauder pantas menyambar bola muntah untuk meletakkan JDT di depan 1-0.

Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Suphanat Mueanta pada minit ke-51, sebelum Robert Zulj meletakkan Buriram di depan tiga minit kemudian hasil gerakan sama.

JDT hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-65, namun tandukan Figueiredo hanya singgah di palang sebelum Etheridge menyelamatkan bola di atas garisan.

Buriram yang turut dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-76 sekali lagi terselamat selepas VAR membatalkan keputusan pengadil.

Etheridge muncul watak penting buat tuan rumah apabila menafikan dua peluang keemasan JDT menerusi tandukan Figueiredo pada minit ke-81 dan rembatan Bergson pada minit 89 untuk memastikan kemenangan milik Buriram kekal sehingga wisel penamat.

Selepas ini, JDT akan melayan kunjungan wakil Jepun, Machida Zelvia di Stadium Sultan Ibrahim, manakala Buriram United berkunjung ke Seoul bagi menentang FC Seoul.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN