LANGKAWI: Pelumba muda negara, Muhammad Iqmal Zarawi enggan menjadikan status pendatang baharu sebagai alasan apabila meletakkan sasaran tinggi pada penampilan sulungnya dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.
Anak kelahiran Maran, Terengganu berusia 21 tahun itu mahu menempatkan diri sekurang-kurangnya dalam kelompok 20 terbaik di setiap peringkat perlumbaan bertaraf UCI ProSeries 2.0 yang sememangnya terkenal dengan tempo kayuhan lebih laju dan sengit.
“Saya tahu rentak Pro Tour tidak sama seperti perlumbaan biasa. Tetapi saya akan cuba bertahan, terutama di laluan berbukit yang menjadi kekuatan saya. Harap dapat konsisten dalam 20 pelumba teratas,” katanya.
Menurutnya, persiapan rapi sudah dilakukan menerusi kem latihan di Tanjung Malim dan Bukit Fraser, selain memberi tumpuan kepada laluan mencabar seperti Gerik-Pasir Puteh dan Temerloh-Bukit Fraser.
Iqmal yang menjadikan juara empat kali Tour de France, Tadej Pogacar sebagai idola, mengakui ada rasa gementar, namun enggan menjadikannya penghalang.
“Memang berdebar sebab kali pertama di LTdL. Tapi dengan latihan dan bimbingan jurulatih, saya yakin mampu memberikan saingan,” jelasnya.
LTdL 2025 dijangka menyaksikan cabaran sengit dengan penyertaan pelumba bertaraf dunia, namun keazaman Iqmal pastinya menjadi sandaran pasukan kebangsaan untuk mencuri tumpuan.-UTUSAN