Gol awal babak kedua robek moral Bangkok United

Gol awal babak kedua robek moral Bangkok United

Penyerang JDT Bergson Da Silva dikawal dua pertahanan Bangkok United FC pada Kejohanan Kelab Bola Sepak ASEAN Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih Bangkok United, Totchtawan Sripan menyifatkan gol awal pada babak kedua menjadi punca pasukannya tewas 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

Totchtawan berkata, gol yang dihasilkan oleh Bergson Da Silva tersebut merentap menyentap semangat kesebelasan skuad Bangkok Angels yang telah beraksi dengan baik pada babak pertama.

“Kami bermula dengan baik khususnya pada tempoh 15 minit pertama di mana kami turut berupaya mencipta peluang-peluang yang baik untuk menjaringkan gol.

“Bagaimanapun pada babak kedua, gol awal yang dijaringkan Bergson ternyata mengejutkan kami.

“Bermula dengan jaringan itu, pemain-pemain JDT semakin rancak melancar serangan dan mengasak benteng pertahanan kami hingga berjaya menambah jaringan untuk menang 4-0,” katanya.

Pada perlawanan itu, tiada jaringan dihasilkan pada babak pertama sebelum skuad kendalian Xisco Munoz mengganas pada babak kedua dengan Bergson Da Silva menjaringkan hatrik dan satu gol lagi dihasilkan Joao Figueiredo.

Pada aksi juga, Bangkok United dinafikan peluang sepakan penalti setelah Muhsen Al Ghassani dijatuhkan dalam kotak penalti apabila pengadil perlawanan Kim Hee-gon merujuk video bantuan pengadil (VAR).

Ditanya mengenai insiden itu, Totchtawan enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut yang dilihat berkemungkinan boleh mengubah keputusan perlawanan semalam.

“Saya tidak dapat mengulas mengenai perkara itu,” katanya ringkas.

Tambahnya, ketiadaan tonggak utama Ilias Alhaft yang mengalami kecederaan bukan punca utama kekalahan selain tidak dapat menggunakan khidmat Nebojsa Kosovic dan Luka Adzic sepenuhnya pada perlawanan.

“Ia seperti saya memberi alasan apabila tewas kepada JDT, sebaliknya kami mahu pastikan mereka cergas sepenuhnya bagi mengharungi perlawanan penting dalam saingan liga domestik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN