MILAN: Gennaro Gattuso memulakan tugas sebagai jurulatih Itali dengan ujian getir menentang Estonia esok sebelum bertemu Israel dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026.
Azzurri kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Kumpulan I, Norway, selepas tewas 0-3 kepada pasukan yang diketuai Erling Haaland pada Jun lalu.
“Saya mahu lihat semangat berkorban, keberanian mendengar kebenaran pahit daripada rakan sepasukan dan jangan sesekali membiarkan ketakutan menguasai minda.
“Kita mesti kuat, jangan panik jika perlawanan masih 0-0 selepas 10 minit, sebaliknya bersatu dan bertarung habis-habisan kerana sejarah membuktikan kita tidak pernah kekurangan karakter,” kata Gattuso.
Hanya juara kumpulan layak automatik ke Piala Dunia, manakala laluan realistik Itali adalah ke play-off, sesuatu yang gagal mereka manfaatkan pada dua edisi lalu.
Pertemuan menentang Israel pula dibayangi isu politik berikutan tekanan antarabangsa terhadap serangan berterusan di Gaza yang mencetuskan protes di seluruh Eropah.
Persekutuan Jurulatih Itali (AIAC) malah pernah menggesa Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) supaya menggantung Israel daripada pertandingan antarabangsa.
“Saya seorang pencinta keamanan dan hati saya luluh melihat kanak-kanak serta orang awam menjadi mangsa, justeru saya berharap penyelesaian aman dapat dicapai segera,” ujar Gattuso. – AGENSI