LONDON: Nuno Espirito Santo muncul calon utama untuk mengambil alih West Ham selepas kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu memecat Graham Potter hari ini.
Bekas pengendali Wolves, Spurs dan Nottingham Forest itu kini dikaitkan rapat dengan kerusi panas di London Stadium yang menyaksikan The Hammers terperosok di tangga ke-19 liga.
“Lembaga pengarah percaya perubahan perlu dilakukan segera demi memperbaiki kedudukan pasukan dalam Liga Perdana.
“Prestasi sejak separuh kedua musim lalu dan permulaan musim ini jelas tidak menepati jangkaan,” kata kenyataan rasmi West Ham.
Potter hanya mampu meraih enam kemenangan daripada 25 perlawanan sejak dilantik Januari lalu selepas menggantikan Julen Lopetegui.
Namun ketewasan berturut-turut kepada Tottenham dan Crystal Palace selepas rehat antarabangsa September menjadi punca akhir pemecatannya.
Espirito Santo yang membawa Forest ke pentas Eropah musim lalu walaupun dipecat tiga minggu lalu, dilihat memiliki pengalaman dan rekod lebih meyakinkan.
West Ham dijangka membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat dengan tugas getir pertama menanti menentang Everton pada awal pagi Selasa. – AGENSI