PETALING JAYA: Dua beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien mara ke suku akhir selepas menewaskan lawan masing-masing pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Korea di Suwon, Korea Selatan, hari ini.
Pasangan No. 8 dunia, Soon Huat-Shevon menewaskan gandingan ke-25 dunia, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying dari China 21-16, 21-13 dalam masa 31 minit di Gimnasium Suwon.
Pada suku akhir, esok, pasangan suami isteri itu bakal berdepan beregu No. 1 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, selepas wakil China itu mengalahkan Yuta Watanabe-Maya Taguchi dari Jepun 21-14, 21-15 dalam masa 34 minit.
Soon Huat-Shevon tidak mempunyai rekod yang baik bertemu Zhen Bang-Ya Xin selepas sekadar mencatat satu kemenangan daripada sembilan pertemuan lalu.
Sementara itu, Tien Ci-Chiew Sien pula mengetepikan wakil tuan rumah, Lee Jong Min-Chae Yu Jung 9-21, 21-15, 21-17 dalam masa 52 minit.
Menanti beregu ke-35 dunia itu di peringkat seterusnya ialah pasangan berpengalaman Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.
Bekas gandingan No. 8 dunia itu yang baru sahaja kembali daripada hukuman penggantungan oleh BWF selama setahun menumpaskan beregu No. 11 dunia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu dari Indonesia 22-24, 21-19, 21-14. -UTUSAN