Diancam boikot sebab jadi penghantar dulang Amira Othman, Nabila Razali enggan ambil pusing - Utusan Malaysia

Diancam boikot sebab jadi penghantar dulang Amira Othman, Nabila Razali enggan ambil pusing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Nabila Razali tidak ambil pusing komen negatif segelintir warga maya hanya kerana dia menjadi salah seorang pembawa dulang untuk majlis perkahwinan selebriti Amira Othman dan Fattah Amin.

Bagi Bella atau Nur Nabila Mohd Razali, 32, kehadirannya di majlis itu hanyalah untuk meraikan hari istimewa sahabatnya, Amira Othman yang sama-sama membina nama dalam industri sejak masing-masing menyertai Akademi Fantasia Musim ke-10 pada 2013. 

“Bagi saya setiap orang ada pendapat masing-masing, lain orang, lain dia punya pendapat. Macam saya, saya berada di situ untuk meraikan hari yang paling bahagia untuk kawan baik saya, Amira Othman yang akhirnya bertemu dengan pasangan hidupnya.

“Apa jua yang orang cakap mengenai majlis perkahwinan dan juga mengenai kami yang menjadi sebahagian besar pada majlis itu, saya hanya mampu baca dan tolak ke tepi sebab niat saya berada di situ kerana mahu berkongsi kegembiraan,” katanya. 

Tambah penyanyi Pematah Hati itu lagi, dia juga tidak boleh menghalang sikap sesetengah netizen yang mengambil langkah drastik mahu memboikot lagu-lagu nyanyiannya. 

“Jadi kalau cakap pasal boikot atau apa, terserah. Bagi saya, kita juga tak boleh paksa orang dengar lagu kita. 

“Saya tiada apa-apa kebencian terhadap orang yang membenci saya atau sesiapa yang berkaitan,” katanya.

Sebelum ini, terdapat segelintir warga maya yang kurang senang dengan beberapa rakan artis yang menjadi penghantar dulang untuk majlis pernikahan Fattah dan Amira  antaranya Nabila, Ernie Zakri, Anzalna Nasir, Wany Hasrita, Qasrina dan Hawa Rizwana. 

Selain menyifatkan mereka sebagai talam dua muka kerana turut baik dengan bekas isteri Fattah iaitu Fazura, mereka juga mengancam mahu memboikot lagu-lagu penyanyi berkenaan.

Dalam pada itu, ketika diminta bercerita mengenai perasaan Amira Othman menyampaikan hasrat untuk berkahwin, Nabila mengakui gembira ketika mendapat tahu mengenai perkara itu sekitar Mac lalu.

“Saya dapat tahu mereka nak berkahwin pada Hari Raya yang lalu ketika kami beraya di rumah Hael Husaini. Waktu saya dengar berita itu, saya memang sangat gembira, nak menangis pun ada.

“Ketika dia beritahu saya untuk jadi pembawa dulang pun, saya macam tak percaya, saya ingatkan gosip saja.

“Sebab saya tak sangka dia akan berpasangan dengan orang dalam industri juga, sebab saya rasa dia taknak. Saya mula ingat dia main-main, hanya gosip tapi rupanya betul dan saya gembira untuk dia,” katanya.

Jelas Nabila, dia tahu sahabatnya itu sudah beberapa kali meminta jodoh setiap kali menunaikan ibadah umrah.

“Sejujurnya saya tidaklah rapat sangat seperti tidur sebantal atau setiap hari berjumpa. Kami berkenalan selepas kami menyertai program realiti dan mengenali Amira, dia memang berhati-hati dalam memilih pasangan, kalau memilih lagu pun dia berhati-hati, apatah lagi pasangan.

“Jadi saya gembira akhirnya dia berjumpa pasangan hidupnya dan dia jumpa apa yang dia nak,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN