PETALING JAYA: “Sebahagian jasad para syuhada yang ditembak rejim Zionis dibiarkan terbaring di jalan sehingga dimakan haiwan kerana tiada siapa berani mengambilnya.”
Itulah gambaran yang dikongsikan Pengerusi Muslim Care Malaysia–Palestin, Ahmed Ayesh Alnajjar mengenai keperitan hidup rakyat Palestin yang bukan sahaja dibunuh, malah tidak mampu dikebumikan dengan sempurna.
Menurutnya, keadaan di Gaza kini berada pada tahap paling kritikal dan digambarkan sebagai satu pembunuhan beramai-ramai yang berlaku secara terang-terangan di depan mata dunia.
“Segala jenis senjata digunakan untuk menyerang kami termasuk bom, peluru berpandu, kereta kebal, dron dan robot yang sarat dengan bahan letupan turut diletupkan di antara bangunan.
“Seluruh kawasan kejiranan telah dimusnahkan. Bandar besar seperti Khan Younis dan Rafah diratakan sepenuhnya. Hanya tinggal runtuhan, malah runtuhan itu sendiri turut dicuri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas bentuk bantuan segera yang diperlukan, Ahmed berkata, rakyat Palestin memerlukan segalanya kerana seluruh kawasan itu sudah musnah dan tidak lagi memiliki sebarang keperluan asas.
Jelasnya, kehidupan harian mereka semakin sukar apabila terpaksa meneruskan hidup tanpa bekalan asas yang mencukupi.
“Kanak-kanak menangis mahukan susu yang tidak wujud, keluarga kehilangan tempat bergantung untuk hidup. Orang ramai dibunuh dengan bom, dihempap runtuhan rumah, malah ada yang dibakar hidup-hidup. Jenazah turut menderita apabila kain kapan tidak mencukupi, kubur tiada, bahkan bahan untuk mengebumikan juga tidak ada.
“Kami benar-benar memerlukan makanan, air bersih, susu untuk kanak-kanak dan ubat-ubatan asas. Pada masa sama, kami juga perlukan khemah dan pelindung plastik kerana musim sejuk bakal tiba. Tempat perlindungan sementara yang digunakan sejak dua tahun lalu sudah rosak.
“Keluarga memerlukan tandas, sanitasi dan privasi terutama bagi wanita. Kanak-kanak perlukan lampin, wanita perlukan kit kebersihan. Barang asas seperti sabun, syampu dan serbuk pencuci juga langsung tidak ada. Rakyat Gaza bukan sahaja lapar, malah dilucutkan maruah,” jelasnya.
Mengenai bantuan antarabangsa pula, Ahmed berkata, jumlah yang masuk ke Gaza terlalu kecil dan hanya mampu menampung kurang daripada satu peratus keperluan penduduk.
“Kebanyakan keluarga langsung tidak pernah melihat bantuan ini kerana sekatan rejim Zionis. Selepas dua tahun kemusnahan, kebuluran dan penyakit, penghantaran bantuan kecil seperti itu tidak lagi membawa makna.
“Ini bukan bencana alam, tetapi pembunuhan beramai-ramai yang disengajakan. Selagi sekatan berterusan dan pembantaian tidak dihentikan, bantuan kemanusiaan sahaja tidak mampu menyelesaikannya,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmed menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sekatan selain menghentikan segala bentuk kekejaman yang berlaku.
“Kami perlukan tekanan segera untuk menghentikan pengeboman, pembantaian, kebuluran dan pengusiran. Laluan keluar masuk perlu dibuka sepenuhnya agar makanan, ubat-ubatan, bahan api dan tempat tinggal dapat disalurkan tanpa halangan.
“Kami perlukan perlindungan untuk orang awam serta pertanggungjawaban atas jenayah perang yang dilakukan terhadap kami,” katanya. – UTUSAN










