De Kleijn juara peringkat kedua LTDL 2025

De Kleijn juara peringkat kedua LTDL 2025

BINTANG Tudor Pro Cycling itu mengetepikan juara peringkat pertama, Matteo Malucelli dalam pecutan terakhir bagi menamatkan perlumbaan sejauh 163 kilometer dari Padang Besar ke Kepala Batas dengan catatan masa 3 jam 29 minit 59 saat.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Pelumba Norway, Arvid De Kleijn dari pasukan Tudor Pro Cycling Team mencuri tumpuan apabila muncul juara peringkat 2 Le Tour de Langkawi (LTDL) 2025 dari Padang Besar ke Kepala Batas, sebentar tadi.

De Kleijn, 31, menamatkan saingan sejauh 163 kilometer(km)  itu dengan catatan masa 3 jam 29 minit 59 saat, sekali gus mengetepikan cabaran sengit pelumba Itali, Matteo Malucelli (XDS Astana Team) dan Enrico Zanoncello (VF Group Bardiani-Faizane) yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Kejayaan itu turut menyaksikan De Kleijn memperbaiki kedudukan dalam saingan jersi hijau (kedudukan individu keseluruhan), namun ia kekal menjadi milik Malucelli dengan perbezaan 2 saat.

Bintang muda negara, Muhammad Nur Aiman Rosli (Terengganu Cycling Team), terus mencuri perhatian apabila mengekalkan penguasaan dalam kategori Pelumba Asia Terbaik (Jersi Putih) selepas menamatkan saingan dengan masa yang sama bersama kumpulan utama.

Pelumba Malaysia Pro Cycling(MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil dan Wan Abdul Rahman Hamdan(Terengganu Cycling Team)  turut berada dalam kelompok peloton utama, sekali gus memastikan berada di landasan terbaik dalam perebutan jersi pasukan Asia.

Selain Malucelli yang menguasai jersi hijau, pelumba Belanda, Erlend Blikra (Uno-X Mobility) mengumpul 20 mata untuk kekal dalam kelompok utama perebutan jersi pecut (jersi oren).

Bagi kategori pendaki (jersi polka dot), Ben Carman (STG) mendahului carta dengan dua mata selepas berjaya mengutip mata di zon pendakian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN