Dari gadis 'lasak' kini Toh Ee Wei juara dunia

Dari gadis ‘lasak’ kini Toh Ee Wei juara dunia

Toh Ee Wei (tengah) ketika ditemui pemberita selepas pulang dari Paris bagi Kejohanan Badminton Dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Dari seorang anak gadis lasak yang pantang berbaju skirt, Toh Ee Wei kini menjelma sebagai ratu dunia badminton selepas merangkul juara dunia beregu campuran di Paris, pada Ahad.

Bagi ibunya, Jane Yeo, kenangan anak gadis lasak yang lebih selesa berbaju t-shirt dan seluar pendek di sekolah masih segar hingga hari ini.

“Sejak kecil lagi, Ee Wei memang aktif dan suka sukan, bola keranjang, badminton, apa saja dia cuba.

“Kalau pergi sekolah pakai skirt, balik sekolah dia sudah bertukar baju t-shirt dan seluar pendek, dia memang lain daripada budak perempuan lain,” kata Jane kepada pemberita ketia ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Namun sisi lasak itu akhirnya menjadi senjata ketika Ee Wei diuji tuberkulosis (TB) tulang belakang pada 2021.

“Waktu dia sakit dulu, kami risau sama ada dia boleh teruskan badminton, tapi dia sangat kuat dan berdisiplin, semua usaha dia terbayar hari ini,” jelas Jane.

Bapanya, Toh Kok Leong pula melihat disiplin dan pengorbanan anaknya sebagai kunci kepada kejuaraan dunia yang diraih.

“Dia melalui proses penuh cabaran, belajar daripada kesilapan, berkorban masa dan tenaga, akhirnya semua itu dibalas dengan gelaran juara dunia,” kata Kok Leong.

Kemenangan bersejarah bersama gandingannya, Chen Tang Jie, menjadikan Ee Wei simbol semangat juang kepada generasi muda negara.

Tang Jie-Ee Wei bergelar juara dunia selepas menumpaskan pasangan China yang juga pilihan kedua kejohanan, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada aksi final Kejohanan Badminton Dunia di Paris pada Ahad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN