PETALING JAYA: Skuad hoki negara akan melakukan sesi bedah siasat secara menyeluruh bagi mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki selepas menamatkan kempen Piala Asia 2025 di tempat ketiga, baru-baru ini.
Pengurus pasukan, Datuk Najmi Abdul Razak berkata, pengurusan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) secara keseluruhannya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh skuad kebangsaan namun terdapat beberapa elemen perlu diperbaiki.

“Saya rasa pemain dah banyak meningkat sepanjang perlawanan cuma saya rasa ada sedikit penambahbaikan perlu dibuat, mungkin dari segi fizikal, taktikal dan meningkatkan semangat juang seperti mana yang kita lihat.
“Saya belum dapat laporan penuh daripada pasukan selepas mereka tiba (ke Malaysia). Saya dapat laporan daripada jurulatih setiap kali lepas permainan tapi saya rasa elok jumpa mereka dulu.
“Ya (lakukan post mortem) biarkan mereka rehat dulu. Mereka akan kembali berlatih pada minggu depan tapi sebelum mereka bermula kita akan jumpa dengan semua, barisan jurulatih dan pemain,” katanya.
Najmi turut berkata, pasukan negara menunjukkan aksi konsisten sejak peringkat kumpulan hingga ke pusingan Super 4, namun kekalahan 4-3 kepada Korea Selatan mengubah segala-galanya.
“Secara keseluruhannya mereka melakukan dengan baik cuma nasib tidak berpihak kepada kita ketika menentang Korea Selatan,” katanya.-UTUSAN