Bangkok United hormati JDT

Bangkok United hormati JDT, anggap salah satu pasukan terbaik Asia

Ketua Jurulatih Bangkok United Totchtawan Sripan bersama pemain Kyoga Nakamura pada Sidang Media menjelang Kejohanan Kelab Bola Sepak ASEAN  Piala  Shopee menentang  JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pengendali Bangkok United FC, Totchtawan Sripan menyifatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai antara pasukan terkuat Asia ketika kedua-dua pasukan membuat pertemuan dalam aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, petang ini.

Sripan, 53, berkata, kualiti yang dimiliki skuad Harimau Selatan itu bukan lagi rahsia dan dia sudah membuat persiapan rapi untuk menghadapi juara Liga Super 11 musim berturut-turut itu.

Katanya, dia mempunyai pengalaman berdepan JDT dalam kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL), dua musim lalu dan pertemuan itu membuka matanya tentang keupayaan yang dimiliki wakil Malaysia tersebut.

“Kami melihat JDT sebagai salah satu pasukan terkuat di peringkat Asia, bukan sahaja di rantau ASEAN. Mereka mempunyai ramai pemain yang berkualiti yang membantu pasukan meraih kejayaan.

“Berbekalkan pengalaman bertemu JDT pada dua tahun lalu, ia sedikit sebanyak membuka mata kami mengenai keupayaan mereka. Jadi, itu membantu kami membuat persiapan menghadapi mereka.

“Sudah tentu setiap pasukan mempunyai identiti yang tersendiri dan pasukan besar seperti JDT juga tidak terkecuali. Bagaimanapun, kami tidak mudah menyerah dan akan bermain seperti yang rancangkan.

Bekas pemain kebangsaan Thailand era 90an itu berkata, berdepan jadual padat susulan penyertaan dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2 bukanlah alasan pasukan akan mengambil mudah ACC Piala Shopee.

Jelasnya, setiap pertandingan yang disertai, beliau akan membariskan skuad yang terbaik dan berusaha keras untuk mencari kemenangan.

“Dari awal musim lagi kami sudah menjangkakan perkara ini (jadual padat) dan telah melakukan penggiliran pemain supaya semua pemain mampu mengisi setiap dan melaksanakan tugas dengan sebaiknya.

“Walaupun tewas 1-2 kepada Buriram United dalam aksi Liga Thailand, baru-baru ini bukanlah alasan kami tidak beraksi sepenuh hati. Kekalahan itu tidak menjejaskan mental pemain dan akan bermain bermati-matian apabila berdepan JDT,” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN