NEW YORK: Amanda Anisimova bangkit menebus kekecewaan selepas menyingkirkan pilihan kedua, Iga Swiatek 6-4, 6-3 pada suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS), hari ini.
Pemain pilihan kelapan dari AS itu menebus kekalahan memalukan ‘double bagel’ di Wimbledon dua bulan lalu.
“Saya rasakan inilah larian terbaik dalam hidup saya di kejohanan ini.
“Hari ini adalah kemenangan paling bermakna dalam karier saya dan ia jadi penebus maruah selepas apa berlaku di Wimbledon,” kata Anisimova.
Swiatek mengakui persembahannya tidak mencapai tahap terbaik dan mahu segera bangkit menghadapi aksi seterusnya.
Turut mara ke separuh akhir ialah Naomi Osaka yang menewaskan pilihan ke-11, Karolina Muchova 6-4, 7-6 (7/3).
Osaka, juara dua kali Terbuka AS, berkata keyakinannya kembali selepas melakar prestasi terbaik sejak kembali ke gelanggang selepas kelahiran anak perempuannya pada 2023.
Pemain Jepun berusia 27 tahun itu akan berdepan Anisimova, lawan yang pernah menewaskannya dua kali sebelum ini di Terbuka Australia dan Roland Garros 2022. – AGENSI










