Abang meninggal dunia ketika hantar adik daftar di UPSI

Abang meninggal dunia ketika hantar adik daftar di UPSI

ehati
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Kegembiraan seorang pelajar untuk mendaftar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kelmarin bertukar pilu apabila abangnya meninggal dunia secara mengejut ketika dalam perjalanan dari Seremban ke UPSI di sini.

UPSI berkata, dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur, Nik Mohamad Syahrul Azzim Nik Yusoff, seorang alumni UPSI bagi Program Reka Bentuk dan Pembangunan Permainan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) pada 2017 dilaporkan tidak sedarkan diri ketika memandu kereta sebelum rebah ke arah adiknya, Nik Nur Maisarah Nik Yusoff, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan. 

Katanya, Nik Maisarah yang dalam perjalanan ke UPSI untuk mendaftar sebagai pelajar baharu Teknologi Maklumat FKMT sempat memegang stereng kenderaan bagi mengelakkan pelanggaran di laluan plaza tol.  

Katanya, kenderaan itu bagaimanapun terbabas namun Maisarah dan kakaknya yang turut berada di dalam kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Allahyarham disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Serdang. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian beliau adalah mati mengejut, tanpa sebarang tanda penyakit. 

“Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke Seremban untuk disolatkan di Masjid Muhammad Al-Fateh sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Forest High,” kata kenyataan itu,

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin yang menziarahi keluarga mangsa di Taman Nyior Hijau Seremban, Negeri Sembilan berkata, pihak universiti amat bersimpati dengan kejadian yang menimpa salah seorang mahasiswa baharu.

“Pihak universiti mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian beliau. Kami di UPSI sentiasa prihatin dengan nasib mahasiswa dan akan memastikan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian.

“UPSI bukan sahaja memberi tumpuan terhadap kecemerlangan akademik pelajar, malah menekankan aspek kebajikan dan sokongan emosi khususnya dalam situasi yang melibatkan kehilangan ahli keluarga. 

“Kebajikan mahasiswa merupakan keutamaan kami. Melalui Unit Hal Ehwal Pelajar, UPSI akan terus cakna dan berusaha membantu keluarga serta mahasiswa yang terkesan dengan kejadian ini,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN