PETALING JAYA: Jadual padat siri Jelajah Dunia BWF sekali lagi menjadi penghalang utama buat beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila prestasi mereka terus merosot selepas berakhirnya Kejohanan Badminton Dunia bulan lalu.
Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi menegaskan hanya blok latihan secukupnya mampu mengembalikan sentuhan terbaik mereka, namun perkara itu sukar direalisasikan dengan kalendar kejohanan yang begitu rapat.
Menurutnya, tempoh seminggu antara satu kejohanan dengan kejohanan lain tidak cukup untuk Aaron-Wooi Yik memulihkan semula aspek fizikal dan taktikal, apatah lagi untuk menyaingi pasangan elit dunia yang semakin konsisten.
“Mereka perlukan sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu latihan untuk mengukuhkan semula permainan, tetapi jadual tidak memberi ruang itu,” kata Herry kepada Utusan Malaysia.
Kesan daripada kurangnya persiapan mula terserlah apabila pasangan ranking No. 2 dunia itu terkandas awal di Hong Kong dan China Masters, sejurus pulang daripada Kejohanan Dunia.
Lebih membimbangkan, Aaron-Wooi Yik sudah mengalami tiga penyingkiran awal dalam enam kejohanan terakhir yang mereka sertai.
Malah, mereka juga dikecewakan dua kali berturut-turut oleh beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dan turut tewas kepada juara dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Cabaran dijangka bertambah getir apabila mereka perlu menempuh siri Eropah bermula Oktober ini yang merangkumi Terbuka Artik, Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo dalam tempoh empat minggu berturut-turut.
Dalam masa sama, gandingan utama wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun membuat keputusan melangkau daripada Terbuka Korea bagi mendapatkan rehat secukupnya.
Keputusan itu nyata berbeza dengan Aaron-Wooi Yik yang terpaksa terus mengharungi jadual padat, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada mereka mampu mengekalkan konsistensi menjelang Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China pada Disember ini. – UTUSAN










