LANGKAWI: Langit Pulau Langkawi malam ini bertukar gemerlapan apabila 380 dron menghiasi ruang angkasa Dataran Lang sempena majlis pengenalan rasmi 22 pasukan yang bakal merancakkan edisi ke-29 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.
Majlis penuh warna-warni itu sekali lagi memilih Langkawi sebagai tuan rumah simbolik buat tahun kedua berturut-turut sebelum tirai perlumbaan berprestij Asia ini dibuka secara rasmi Ahad ini.
Sebanyak 130 pelumba terdiri daripada dua pasukan berstatus WorldTeam, sembilan ProTeam, 10 Continental dan skuad kebangsaan akan bersaing merebut jersi kuning dalam perlumbaan lapan peringkat sejauh 1,244.2 kilometer.
Edisi kali ini yang berstatus 2.ProSeries UCI akan berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selaku penganjur utama bersama Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Perlumbaan pembuka tirai esok bakal menyajikan cabaran sejauh 96.7 kilometer mengelilingi Pulau Langkawi, termasuk pendakian kategori empat di Bukit Malut serta tiga zon pecut di Harbour Park, Bayas dan Padang Matsirat.
Turut hadir menyaksikan majlis gilang-gemilang itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan & Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah, Radhi Mat Din; Timbalan Ketua Setiausaha KBS, Abdullah Hasan dan Pengarah MSN, Jefri Ngadirin.- UTUSAN