Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mempamerkan kecemerlangan berterusan apabila berjaya memenangi anugerah berprestij Anugerah Kecemerlangan PPT: Jaminan Kualiti Dalaman (IQA) di Majlis Anugerah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) 2025, baru-baru ini.
Anugerah berkenaan telah disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir adalah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, dan serta Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
Anugerah yang dimenangi UTeM selaku pemenang utama Anugerah Kecemerlangan PPT: Jaminan Kualiti Dalaman (IQA) dalam kalangan seluruh universiti dalam negara dan dengan kemenangan ini UTeM membawa pulang piala dan sijil kecemerlangan.
Sementara itu UTeM turut tersenarai antara 3 universiti terbaik bagi Anugerah Kecemerlangan PPT: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan 5 universiti terbaik bagi Anugerah Kecemerlangan PPT: Pembelajaran Sepanjang Hayat.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin berkata, kejayaan tersebut jelas menjulang nama UTeM dan membuktikan universiti ini terus komited dalam mempamerkan kecemerlangan berterusan dalam aspek pematuhan standard dan inovasi dalam jaminan kualiti mampan.
Jelasnya, UTeM sentiasa memastikan pelaksanaan pengurusan kualiti dalaman yang berprestij tinggi keseluruhan, sistem jaminan kualiti dalaman yang kukuh di samping proses penandaarasan, yang melibatkan perbandingan dengan amalan terbaik untuk meningkatkan kualiti program.
“Hasil daripada proses penandaarasan ini, yang terdiri daripada kekuatan dan peluang penambahbaikan, menjadi input bagi menambah baik matlamat institusi, pelan strategik dan juga sistem jaminan kualiti.
“Pada masa yang sama pemacuan kepimpinan UTeM tentunya memainkan peranan penting dalam memacu budaya kualiti. kepimpinan yang berkesan dalam memastikan pelaksanaan dasar dan prosedur berkualiti serta memberi inspirasi kepada staf dan pelajar untuk mencapai kecemerlangan, ujarnya.
Katanya lagi, antara lain UTeM terus sentiasa agresif dalam penyertaan dalam proses penilaian dan audit dalaman yang membantu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam sistem pengurusan kualiti dan membolehkan universiti membuat penambahbaikan yang diperlukan untuk memastikan standard kualiti yang tinggi.
Menerima anugerah ini UTeM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr Zahriladha Zakaria yang mewakili Massila.
Turut bersama hadir meraikan kemenangan ini adalah Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Dato’ Dr Husaini Omar dan Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) Profesor Ts Dr. Mohd Sanusi Azmi.