GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan penangguhan pelaksanaan tarif air baharu di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi Tempoh Pelaksanaan Kedua (TP2) sehingga 1 Julai 2026.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pelaksanaan pelarasan tarif itu sebelum ini dijadual bermula pada hari ini (1 Ogos 2025).
“Namun, ia (tarif air baharu) terpaksa ditangguh sehingga 1 Julai 2026. Keputusan penangguhan selama setahun itu dijangka memberi manfaat secara langsung kepada 715,957 pengguna air di negeri ini,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan kadar tarif air bagi pengguna domestik di hampir semua negeri di Semenanjung serta Wilayah Persekutuan Labuan akan dinaikkan bermula 1 Ogos ini susulan pewartaan struktur baharu tarif air yang diumumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Kenaikan itu melibatkan peningkatan kadar purata sebanyak 20 sen bagi setiap meter padu, menjadikan kadar baharu RM2.75 berbanding RM2.55 sebelum ini, pelarasan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan negeri Perak bagi kategori pengguna domestik.
Sebelum ini, kadar tarif air domestik di Pulau Pinang naik berganda bermula 1 Februari 2024, di mana pengguna yang menggunakan sehingga 20 meter padu air sebulan akan dikenakan 50 sen setiap meter padu, berbanding kadar terdahulu 22 sen.
Pengguna yang menggunakan 20 hingga 35 meter padu air sebulan pula akan dikenakan RM1.10 setiap meter padu, manakala penggunaan lebih 35 meter padu akan dikenakan RM2 setiap meter padu berbanding kadar semasa masing-masing 46 dan 68 sen.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, berdasarkan perincian tarif baharu yang ditangguhkan itu, purata kenaikan bil air bagi 79.88 peratus daripada 613,660 pengguna domestik yang menggunakan sehingga 35 meter padu (m³) sebulan adalah antara RM0.30 dan RM2.55 sebulan.
“Sementara itu, purata kenaikan bil air bagi 95.38 peratus daripada 98,155 pengguna bukan domestik (perniagaan) yang menggunakan sehingga 200m³ sebulan pula dianggarkan antara RM3.60 dan RM35.70 sebulan,” katanya. – UTUSAN