KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara dunia 2025 selepas menundukkan wakil China di Paris, Perancis, sebentar tadi.
Gandingan ranking keempat dunia itu menewaskan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15, 21-14 dalam tempoh 39 minit pada aksi final Kejohanan Badminton Dunia.
Kejayaan itu amat bermakna kerana mereka menamatkan rekod kekalahan kepada beregu No.2 dunia itu dalam tiga pertemuan terakhir sebelum ini.
Kemenangan tersebut sekali gus menjadikan Tang Jie-Ee Wei sebagai beregu campuran pertama Malaysia bergelar juara dunia sejak kejohanan diperkenalkan pada 1977.
Kali terakhir Malaysia melakar pencapaian podium dalam acara beregu campuran adalah menerusi Koo Kien Keat-Wong Pei Tty yang meraih gangsa di Madrid pada 2006.
Tang Jie-Ee Wei juga menambah koleksi gemilang negara apabila menamatkan penantian panjang badminton Malaysia untuk gelaran dunia.
Malaysia kini menaruh harapan kepada beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah untuk menambah kilauan emas apabila turun menentang gandingan No.1 dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning malam nanti. – UTUSAN










